GOMBAK, 19 Mac (IKIM) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta bagi program Ramadan MADANI YAPEIM yang dilaksanakan di lebih 20 lokasi di seluruh negara.
Program ini menyasarkan bantuan kepada 7,700 pelajar yang memerlukan, terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah rendah, dan sekolah menengah dalam kalangan keluarga miskin tegar, keluarga miskin, serta kumpulan B40.
Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM, Ameer Ali Vali Mohamed berkta sebahagian penerima manfaat merupakan peserta program Didik MADANI YAPEIM yang telah diadakan pada akhir tahun lalu dan antara institusi yang menjadi tuan rumah kepada program ini termasuk 10 buah universiti, 5 buah politeknik, dan 3 buah institut pendidikan.
“Bagi pihak YAPEIM, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua institusi yang telah sudi menjadi tuan rumah kepada program Ramadan MADANI YAPEIM ini,” kata beliau dalam satu majlis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar & Penglibatan Komuniti UIAM, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin.

Pada petang yang sama, program ini turut diadakan serentak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), dan Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang. YAPEIM menyalurkan sejumlah RM183,000 dalam program ini di UIAM, UNIMAS, UTeM, dan Politeknik Balik Pulau.
Di UIAM dan UTeM, YAPEIM menyumbangkan RM45,000 masing-masing, dengan RM30,000 diperuntukkan untuk bantuan kewangan RM100 kepada 300 pelajar dan RM15,000 untuk tajaan majlis berbuka puasa.
Sementara itu, di UNIMAS, jumlah sumbangan adalah RM47,000, merangkumi RM30,000 untuk bantuan kewangan kepada 300 pelajar dan RM17,000 bagi majlis berbuka puasa manakala Politeknik Balik Pulau pula menerima sumbangan berjumlah RM46,000, termasuk RM30,000 untuk bantuan kewangan dan RM16,000 untuk tajaan berbuka puasa.
Program Ramadan MADANI YAPEIM bertujuan menyantuni pelajar yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan serta membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri menerusi sumbangan tunai selaras dengan teras Kesejahteraan Insan dalam Pelan Transformasi Al-Falah di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menumpukan kepada Kemampanan Ekonomi dan Kebajikan Sosial Islam.
Setakat ini, program Ramadan MADANI YAPEIM telah menyantuni pelajar di sebelas lokasi, dan bakal diteruskan di lebih banyak institusi di seluruh negara bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan oleh golongan yang memerlukan.