KUALA LUMPUR, 6 Mac (IKIM) – Tradisi edaran bubur lambuk Bank Rakyat kembali diteruskan untuk tahun ke-12, menyaksikan pengagihan 7,000 pek bubur lambuk Kampung Baru melibatkan 20 kawah, di sekitar Lembah Klang.

Dengan tema ‘Hulurkan Salam’, Bank Rakyat berhasrat untuk menyemarakkan keberkatan bulan Ramadan dan berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat menerusi tradisi tersebut.

“Ini satu tradisi yang terus kita laksanakan setiap kali Ramadhan sebagai satu tanda kasih Bank Rakyat kepada masyarakat di luar sana,” kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff ketika perasmian Program Edaran Bubur Lambuk Bank Rakyat 2025 di perkarangan Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.
“Kita berkongsi kembali rezeki yang Bank Rakyat nikmati selama ini bersama-sama dengan masyarakat,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat.
Acara memasak bubur lambuk secara gotong-royong ini melibatkan kumpulan sukarelawan BaktiRAKYAT yang terdiri daripada warga kerja Bank Rakyat sendiri.

Kesemua bubur lambuk ini diagihkan di beberapa lokasi, termasuk rumah-rumah kebajikan, rumah anak yatim, masjid dan stesen transit aliran ringan (LRT) di sekitar Lembah Klang seperti Brickfield, Bangsar dan juga Puchong.
oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz