Kuala Lumpur, 27 Februari 2025 (IKIM) – Punca utama krisis perpaduan dan keharmonian dalam negara adalah disebabkan kekurangan ilmu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, meskipun para ilmuwan telah lama membincangkan punca-punca konflik perpaduan seperti pertembungan nilai dan pertembungan budaya yang berbeza, konsep “clash of ignorance” (pertembungan kejahilan) adalah gambaran paling tepat terhadap realiti masyarakat masa kini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup Seminar Fiqh Ta’ayush Dalam Gagasan Malaysia Madani anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini.
Merujuk ayat 13 Surah al-Hujurat, Dr. Zulkifli menegaskan bahawa konsep “Lita’arafu”, iaitu berkenal-kenalan dan memahami antara satu sama lain, adalah kunci utama dalam menyemai perpaduan di negara ini.
Hal ini penting bagi membendung pemikiran ekstremisme yang boleh mencetuskan ketidak tenteraman dalam masyarakat akibat perubahan zaman yang drastik dan radikal.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran Seminar Fiqh Ta’ayush sebagai tepat pada masanya, kerana konsep Ta’ayush yang bermaksud hidup dalam keadaan aman damai secara bersama sambil mengiktiraf kepelbagaian, amat relevan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Seminar Fiqh Ta’ayush Dalam Gagasan Malaysia Madani merupakan inisiatif IKIM untuk memberikan kefahaman Islam dalam konteks kepelbagaian di Malaysia.
“Insya Allah, dengan pelbagai dimensi, analisis dan kupasan berkenaan Fiqh Ta’ayush yang boleh dipertimbangkan dalam konteks hari ini, insya Allah kita boleh jadikan ia sebagai paksi kepada memupuk perpaduan mahupun penyatuan, di dalam konteks Malaysia, mahupun dalam konteks global,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa terdapat model Ta’ayush yang boleh dijadikan rujukan, antaranya Perlembagaan Madinah di dan konsep La Convivencia, yang telah terbukti berjaya menyatukan masyarakat majmuk selama beratus tahun.
Selain itu, nilai-nilai dalam budaya Melayu seperti “sejahtera” dan “muhibbah” juga boleh dipadankan bersama konsep Ta’ayush. Justeru, beliau menggesa agar konsep ini diarusperdanakan bagi membentuk masyarakat yang lebih bersatu padu.
Zulkifli turut menerangkan bahawa 14 agensi di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama termasuklah IKIM turut berperanan untuk menyemai kefahaman dalam masyarakat Malaysia.
“Semua pihak perlu memainkan peranan untuk mempromosi konsep fi Ta’ayush yang sememangnya diamalkan oleh Rasulullah di zaman Madinah,” ujar beliau ketika ditemuramah.
oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz