MESEJ AL-QURAN TERSEBAR LUAS HASIL KERJASAMA MEDIA MELALUI #QURANHOUR

SHAH ALAM, 26 Februari (IKIM) – Hanya dalam satu dekad, kempen #QuranHour berjaya dilaksanakan di 313 lokasi di 76 negara sehingga mencapai 7.72 bilion capaian di media sosial.

Kejayaan ini adalah hasil kerjasama agensi media bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang komited menyebarluaskan mesej al-Quran di peringkat global sejak 2016.

“Semangat kesatuan dalam kalangan media menjadi tulang belakang kepada penyebaran kempen ini dalam masyarakat umum,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Puan Marhaini Yusoff dalam Majlis Taklimat Sinergi Media hari ini.

Majlis taklimat itu telah diadakan di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam sempena World #QuranHour 2025.

Kempen #QuranHour merupakan inisiatif WUIF yang diinspirasikan daripada program Let’s Read Together for 10 Minutes 2014 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). 

Bermula dari program #MalaysiaNgaji pada 2015, kempen #QuranHour mulai bergerak ke peringkat antarabangsa melalui program World #QuranHour yang julung kali dilaksanakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2016.

Berikutan usaha berterusan agensi media, kempen #QuranHour telah menjadi fenomena di peringkat global merangkumi World #QuranHour, Arafah #QuranHour,Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention.

Program World #QuranHour 2025 akan dilaksanakan sekali lagi di UIAM pada 25 Mac 2025 bertemakan #SavingTheUmmah berpandukan surah Al-Saff.

oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz

WhatsApp
Scroll to Top