Disediakan oleh: Maslina Alias
Kuala Lumpur, 3 Dis (IKIM) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus memperkukuh usaha dengan menjalinkan kerjasama strategik bagi meningkatkan jumlah permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk produk kosmetik, farmaseutikal, dan barangan kegunaan.
Timbalan Menteri Agama, Dr. Zulkifli Hassan menyatakan bahawa JAKIM bersama agensi pembimbing usahawan memberi fokus kepada strategi bimbingan industri, memastikan syarikat-syarikat bersedia untuk memohon pensijilan halal.
Zulkifli berkata antara langkah yang diambil termasuklah program kesedaran pensijilan halal, latihan intensif melalui Penyedia Latihan Halal dan Rakan Strategik yang diselaraskan oleh JAKIM serta penganjuran klinik halal untuk membantu pemohon yang menghadapi masalah.
Selain itu katanya JAKIM turut bekerjasama dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk membimbing usahawan mikro dalam mengemukakan permohonan pensijilan halal serta memperkenalkan program Halal on Track untuk memberikan bimbingan langsung di samping mengadakan pameran pemain industri dan ceramah berkaitan pensijilan halal.
JAKIM juga dengan sokongan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) terus menyediakan platform untuk para usahawan mendapatkan maklumat dan panduan berkaitan permohonan SPHM.
Tambah Zulkifli, kerjasama strategik turut dijalankan bersama institusi perbankan seperti Maybank melalui inisiatif “Solusi Halal” dan Bank Islam menerusi “Projek Kiub Halal” bertujuan membantu usahawan kecil dan mikro dari segi penyediaan prasarana sebagai persediaan untuk mendapatkan pensijilan halal.
Usaha ini diharap dapat meningkatkan penyertaan industri dalam memperolehi sijil halal, sekaligus memperkukuh keyakinan pengguna terhadap produk tempatan.