Kuala Lumpur, 22 Julai (IKIM) – Isu pembacaan Qunut Nazilah terhadap sesama Muslim yang sedang hangat diperkatakan tidak sepatutnya digunakan dalam konteks perselisihan atau konflik antara sesama Muslim.
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Qunut Nazilah adalah doa khusus yang dibaca ketika umat Islam menghadapi ancaman besar terhadap agama dan keselamatan mereka
Menurut kenyataan tersebut IKIM memaklumkan Qunut Nazilah merupakan doa yang memohon perlindungan dan pertolongan Allah SWT dari ancaman musuh dan tindakan membacanya terhadap sesama Muslim adalah bertentangan dengan prinsip persaudaraan dalam Islam dan boleh menimbulkan perpecahan serta kebencian dalam kalangan umat Islam.
Dalam kenyataan itu IKIM mengajak semua pihak merujuk kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya, menghinanya dan merendahkannya.” (Sahih Muslim #2564)
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ.
IKIM menyeru semua pihak agar berhati-hati dalam menggunakan Qunut Nazilah dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan politik atau peribadi dan menggesa semua pihak agar merujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan mendapatkan nasihat daripada ulama yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tindakan atau keputusan yang berkaitan dengan agama.
Menurut kenyataan itu lagi semua pihak perlu bersama-sama menjaga keharmonian dan perpaduan umat Islam, serta berusaha untuk menyebarkan nilai-nilai Islam yang sebenar, iaitu kasih sayang, toleransi dan persaudaraan.