SABAH, 6 Mac (IKIM) – Seramai 3,328 murid Tahun Satu dalam kalangan anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara menerima manfaat melalui inisiatif Simpanan Pendidikan MADANI 2026 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM166,400.
Di Sabah, seramai 258 murid menerima manfaat tersebut dengan peruntukan berjumlah RM10,700. Penyerahan disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, Jeneral Datuk Haji Malek Razak Sulaiman dalam satu majlis yang diadakan di Kem Lok Kawi pada 4 Mac lalu.

Seramai 20 murid menerima sumbangan secara simbolik dalam majlis berkenaan, manakala 10 murid daripada 83 penerima di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar turut menerima Simpanan Pendidikan MADANI pada 5 Mac sempena Majlis Berbuka Puasa Panglima Angkatan Tentera.
Penyerahan di peringkat kem dan pangkalan itu merupakan susulan daripada penyerahan replika cek oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin kepada tiga panglima perkhidmatan.

Melalui penyerahan tersebut, Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan 2,018 murid dengan peruntukan RM100,900, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seramai 612 murid dengan peruntukan RM30,600 dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melibatkan 698 murid dengan peruntukan RM34,900.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari turut menyempurnakan penyerahan replika cek kepada 10 wakil murid Tahun Satu dalam kalangan anak anggota TUDM di Pangkalan Udara Subang pada 4 Mac.

Menerusi inisiatif tersebut, setiap penerima akan menerima kredit secara sekali bayar sebanyak RM50 ke dalam akaun Simpan SSPN Prime sebagai permulaan tabungan pendidikan.
Program berkenaan dilaksanakan oleh Yayasan LTAT dengan kerjasama strategik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menggalakkan budaya menabung serta memperkukuh perancangan kewangan pendidikan dalam kalangan keluarga warga ATM.
Selain simpanan permulaan, pendeposit yang mengekalkan simpanan minimum RM1,000 turut menikmati manfaat tambahan termasuk perlindungan takaful percuma yang bertujuan memperkukuh keselamatan kewangan keluarga.

Dalam majlis sama, Panglima Angkatan Tentera turut menyampaikan sumbangan kepada waris anggota Unit Lapang Sasar Kota Belud yang meninggal dunia baru-baru ini serta dua ahli keluarga anggota yang menghidap penyakit kronik sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga ATM.
Sejak diperkenalkan pada 2024, program tersebut terus diperkasa sebagai antara inisiatif kesejahteraan pendidikan bagi keluarga ATM, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan mobiliti sosial dalam kalangan komuniti pertahanan negara.




