280 Jemaah Haji Kumpulan Pertama Selamat Pulang ke Tanah Air

Sepang, 25 Jun (IKIM) – Seramai 280 orang kumpulan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.30 malam tadi menandakan bermulanya operasi haji fasa kedua untuk Musim Haji 1445H/2024M bagi menyambut kepulangan jemaah haji ke tanah air.

Kumpulan yang terdiri daripada jemaah negeri Kedah dan Kelantan itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) hari yang sama menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika menyambut ketibaan jemaah tersebut berkata “kejayaan bagi musim haji tahun ini adalah bantuan daripada Allah serta pengurusan haji yang mantap oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memastikan kelancaran dan jemaah haji tahun ini berada dalam keadaan yang sihat”. 

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang menganugerahkan Malaysia melalui Anugerah Labbaittum bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut baru-baru ini, membuktikan kesungguhan yang dipamerkan oleh TH serta semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan operasi haji kali ini. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyantuni para dhuyufurrahman yang tiba malam tadi di KLIA. 

Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah tersebut di KLIA.

Scroll to Top