KUALA LUMPUR, 11 Mac (IKIM) – Seramai 109 penerima daripada golongan asnaf menerima sumbangan Pek Rencah Raya dan Biskut Raya dalam satu majlis anjuran Yayasan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Kedutaan China di Malaysia, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan D’Tasek pada jam 9 pagi itu diadakan bersempena Program Rencah Raya & Biskut Raya di bawah Kempen Rayuan Ramadan 1447H/2026 anjuran Yayasan IKRAM Malaysia.

Kerjasama antara Yayasan IKRAM Malaysia dan Kedutaan China di Malaysia itu terus diperkukuh apabila tahun ini merupakan tahun keenam pihak kedutaan menaja kempen Rayuan Ramadan bersama yayasan berkenaan.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada 109 penerima yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta keluarga asnaf daripada komuniti di bawah MPP Parlimen Setiawangsa Sub Zon 6.
Penerima manfaat melibatkan penduduk dari kawasan Ayer Panas, Desa Rejang, Sungai Bonus dan Seri Semarak.

Setiap pek yang disumbangkan mengandungi pelbagai barangan keperluan bagi membantu persediaan menyambut Aidilfitri, termasuk tepung, ketupat segera, biskut raya, santan kotak serta bahan-bahan masakan lain.
Program Rayuan Ramadan Yayasan IKRAM Malaysia kini memasuki tahun ke-27 pelaksanaannya dan sepanjang tempoh itu, sumbangan daripada para penyumbang telah membantu ribuan penerima dalam kalangan asnaf, fakir miskin, mangsa bencana, banduan, keluarga B40 serta komuniti rentan di seluruh negara.

Dana yang disalurkan melalui kempen tersebut bukan sahaja dimanfaatkan pada musim perayaan, malah turut digunakan bagi membantu mangsa banjir, menyediakan latihan kesiapsiagaan bencana, pemberian cermin mata percuma, latihan bagi golongan miskin bandar serta pelbagai program kebajikan lain.
Antara inisiatif lain yang dilaksanakan di bawah kempen itu termasuk Tajaan Kurma dan Iftar Penjara, Tajaan Pek Ramadan, Tajaan Iftar dan Sahur, Tajaan Baju Raya serta Tajaan Biskut Raya dan Rencah Raya.
Yayasan IKRAM Malaysia turut mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada orang ramai dan sektor korporat bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni serta merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini.




