HULU SELANGOR, 12 Mac (IKIM) – Kira-kira 1,000 penduduk menghadiri Majlis Iftar Ramadan MADANI Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diadakan di Felda Soeharto pada Rabu.
Majlis berkenaan diwakili oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Menurut beliau, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Ramadan MAADANI yang bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.
Katanya, program itu ditaja oleh Tabung Musa’adah JAKIM dengan sokongan beberapa pihak penaja termasuk Rakan Strategik JAKIM.

Marhamah berkata penganjuran program seumpama itu penting untuk diteruskan kerana ia bukan sahaja menghimpunkan masyarakat Islam, malah turut melibatkan kehadiran masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Cina dan India.
Beliau menambah, program berkenaan mencerminkan usaha kerajaan untuk memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk serta memastikan semangat kebersamaan dapat terus dipupuk dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, inisiatif tersebut juga membuktikan bahawa program dan bantuan di bawah Kerajaan MADANI tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, malah turut disalurkan kepada komuniti di kawasan Felda.
Beliau berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi memperluas manfaat kepada masyarakat setempat serta memperkukuh keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.




