YDP Agong Beri Penghormatan Terakhir Kepada Almarhum Sultan Kedah

ALOR SETAR, 12 September – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 12.40 tengah hari di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit diiringi Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani.
Almarhum Sultan Abdul Halim, 89, mangkat di Istana Anak Bukit di sini pada pukul 2.30 petang semalam setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.
Turut berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah dan Permaisuri Tuanku Zara Salim, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Turut hadir memberi penghormatan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top