Yang Di-Pertuan Agong Beri Peringatan Kepada Wakil Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen perlu menggalas tugasan dan titipan amanah yang diberikan dengan jujur serta penuh dedikasi.

Ketika menyempurnakan istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen Ke-14 di Kuala Lumpur Seri Paduka Baginda bertitah, pemilihan sebagai wakil rakyat merupakan satu tanggungjawab yang besar.

Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda percaya Ahli-Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang dan dapat merangsang dinamik berfikir.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan ketika mengulas titah Seri Paduka Baginda tersebut, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga merupakan Pakar Perlembagaan Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berpandangan bahawa ia merupakan satu cabaran baru bagi seluruh ahli parlimen untuk menonjolkan keprihatinan terhadap Negara dan juga isu-isu yang bakal dibahaskan.

Dalam pada itu , Seri Paduka Baginda menyokong langkah kerajaan bagi menangani kos sara hidup termasuklah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Malah, Seri Paduka Baginda  mengalu-alukan pendekatan kerajaan menegakkan ketelusan terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemah.

Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top