Wangsa Maju Menutup Tirai Karnival Mahabbah IKIMfm

Wangsa Maju Menutup Tirai Karnival Mahabbah IKIMfm

KUALA LUMPUR – Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi Karnival Mahabbah IKIMfm yang terakhir bagi sesi 2013 dan pembuka lembaran baharu 2014. Sebagai sebuah radio yang menyediakan program-program ilmuwan kepada masyarakat dan pendengar, IKIMfm tampil dengan pelbagai segmen dari Konti ke Pentas yang diadakan bermula pada malam tahun baharu, Selasa lalu.

Penyelaras Karnival Mahabbah IKIMfm, Puan Fairuz Hj Noordin berkata, penganjuran kali ini bertepatan dengan suasana kemeriahan sambutan tahun baharu di Kuala Lumpur yang diadakan setiap tahun.

“Bagi mengisi ruang hari cuti sempena tahun baharu, IKIMfm memilih Masjid Usamah Zaid bagi penganjuran karnival kali ini. Tahun lalu, kita telah berkampung di Masjid As-Syakirin KLCC manakala sebagai satu alternatif kepada masyarakat, kita memilih menganjurkan program ini dengan kesedaran dan azam baharu memulakan takwim 2014.”

Selaras dengan itu, penganjuran karnival buat kali kelima pada tahun ini turut bekerjasama dengan pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Masjid Usamah Zaid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Manakala, IKIMfm memilih Rabbani Production (M) Sdn Bhd selaku pengurus acara; di samping BANK ISLAM (M) BHD selaku penaja utama karnival dan PPZ bersama Hijrah Water sebagai penaja bersama.

Kehadiran pengunjung yang memeriahkan acara karnival tidak pernah mengecewakan pihak penganjur apabila kerusi yang disediakan tidak pernah kosong di samping pengisian yang penuh bermanfaat.

Malam tahun baharu, pengunjung disajikan dengan kupasan ilmu melalui Forum Bicara Ad-Deen IKIMfm yang bersiaran bersama Ustaz Fakhrulradhi Khamaruddin dari UNIC dan Ustaz Hj Mohd Nazri Chik mewakili Bank Islam (M) Bhd. Manakala Maulid@IKIMfm bersama Ustaz Muhadir Hj Joll mengambil pentas selepas Majlis Perasmian Karnival Mahabbah IKIMfm yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Tidak ketinggalan, slot Dari Konti ke Pentas bersama Ustaz Pahrol Md Joui dalam rancangan Islam Itu Indah, Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al-Hamid yang berkongsi di dalam Pesona D Zahra pada sebelah petang dan Ustaz Zulramli Mohamed Razali yang mengisi program Usrah Nurani bersama Atie AF dan Adam Corrie menutup perkongsian rancangan langsung melalui IKIMfm.

Selain daripada itu, pelbagai pengisian bagi kanak-kanak seperti Pertandingan Mewarna, Pertandingan Menghias Kek memeriahkan lagi acara karnival.

IKIMfm mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengunjung terutama yang berada di sekitar Lembah Klang yang memeriahkan acara karnival ini. Semoga bertemu lagi pada Karnival Mahabbah IKIMfm akan datang yang dijadual akan ke Kuching, Sarawak.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

1 Comment

  1. salhaDecember 1, 2014

    Assalam,
    Saya wakil dari Taman Ekuestrian Putrajaya dan kami baru sahaja selesai menganjurkan “Taman Ekuestrian Putrajaya Mahabbah Horse Carnival”. Karnival kami ini adalah fokus kepada aktiviti sunah seperti menunggang kuda dan memanah.
    Pada hari ini saya terjumpa tentang Karnival Mahabbah IKIM. Jadi dengan keinginan kami untuk mengekalkan konsep mahabbah dan sunnah ini, kami berharap boleh berkolaborasi dengan pihak IKIM untuk sama sama menganjurkan karnival mahabbah ini pada masa akan datang.
    kami pasti program seperti ini perlu dikekal kan bagi memberi pendedahan kepada seluruh pelusuk umur lebih lebih lagi kanak kanak.
    Itu sahaja padangan saya, wakil dari TEP pada harini. Diharap Allah memberi peluang untuk kita sama sama berkolaborasi.
    Sekian,
    Salha binti Mohamad.
    Taman Ekuestrian Putrajaya

Leave a Reply

Scroll to top