Ulama Maghribi, Al-Raysuni, Dipilih Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia

KUALA LUMPUR, 8 November – Ulama Maghribi, Syeikh Ahmad al-Raysuni, telah dipilih sebagai Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) bagi tempoh 2018-2022, menggantikan Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

Agensi berita Anadolu memetik kenyataan KUIS pada Rabu melaporkan bahawa pemilihan itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung ke-5 KUIS yang berlangsung dari 3 hingga 7 Nov di Istanbul, Turki.

Al-Raysuni, yang juga calon tunggal bagi jawatan tersebut, menerima sokongan 93.4 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota kesatuan itu.

Sejumlah 4.4 peratus anggota KUIS tidak menyokong Al-Raysuni manakala 2.2 peratus dilarang mengundi atas faktor-faktor tertentu.

Turut dipilih empat timbalan kepada jawatan Al-Raysuni, iaitu Sheikh Khairuddin Kahraman (Turki), Ahmad bin Hamad Al-Khalili (Oman), Sheikh Issam El-Bashir (Sudan) dan Habib Salem Saqaf Al-Jufri (Indonesia).

KUIS, yang diasaskan Al-Qaradhawi, adalah sebuah badan bukan kerajaan Islam yang menghimpunkan para ulama dari seluruh dunia, termasuk negara minoriti Islam.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.