Ucapan Perasmian Y.bhg. Datuk Haji Nik Mustapha Bin Haji Nik Hassan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia Seminar Serantau “Gagasan Pemikiran Peradaban Al-Qur’an”

Segala puji bagi Allah, Pemilik alam yang terbentang luas ini, salawat dan salam atas junjungan Nabi Muhammad Sallallahu `alaihi wa Sallam, Penyudah sekalian Nabi yang digelar al-Amin, ahli keluarga serta sahabat-sahabat Baginda.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Para Pembentang, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, para peserta Seminar Serantau “Gagasan Pemikiran Peradaban al-Qur’an” sekalian.

Alhamdulillah kita mengucap syukur ke hadrat Illahi kerana diberi kesempatan untuk menghadiri Seminar tentang al-Quran.  Persoalan awal saya ialah kenapakah al-Qur’ān dipelajari? Inilah persoalan utama yang mesti diperhalusi jawapannya oleh setiap penuntut ilmu al-Qur’ān, kerana itulah mauduk pencariannya. Al-Qur’ān bukanlah semata-mata suatu naskhah bacaan yang mengandungi huruf dan bunyi. Ia adalah suatu Risalah yang menyeru manusia kepada Allāh.  Justeru, itulah maksudnya yang tertinggi, dan itu bermakna seluruh ayat-ayatnya adalah untuk mencapai maksud itu.

Seminar hari ini diadakan bertujuan mengupas al-Quran sebagai petunjuk sepanjang zaman bagi orang Islam dalam segenap aspek ilmu dan kehidupan dalam rangka mambina peradaban.  Justeru itu, panduan al-Quran merentasi kurikulum waktu dan tempat, walaupun manusia berterusan melakukan pelbagai kajian tentang al-Quran, khazanah dan hikmahnya tidak terluak bahkan menagih lagi penelitian dan rujukan daripada manusia.

Justeru itu, bagi saya, al-Quran hendaklah disampaikan kepada orang ramai sebagai panduan kehidupan yang dapat diamalkan.  Mana-mana bangsa yang mengambil al-Quran sebagai panduan dalam menyusun kehidupan akan mencapai kejayaan dan kecemerlangan dan sesiapa yang mengabaikannya akan menuju ke arah kehancuran.

Oleh itu tindakan yang gigih perlu kepada usaha bagaimana prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dapat menjadi prinsip panduan dalam kita menyusun kehidupan bermasyarakat di Negara-negara umat Islam termasuk di Malaysia.  Bagi ahli akademik kita hanya mampu mengemukakan pandangan-pandangan melalui penulisan dan kenyataan lisan berkaitan pendekatan al-Quran dalam menyusun kehidupan umat manusia.  Terserahlah kepada yang diberi kuasa memerintah negara untuk diterjemahkan Panduan al-Quran dalam menyusun Negara.

Al-Quran merupakan preskripsi untuk memenuhi kesemua keperluan semulajadi manusia dan sesiapa yang menghayati panduan al-Quran akan mendapat kejayaan dan keamanan dalam tugasnya di dunia dan ganjaran sepenuhnya di akhirat kelak.  Faham al-Quran yang tepat akan mendedahkan kepada para pembaca, rahsia-rahsia kehidupan manusia: misalnya, prinsip-prinsip kebangkitan dan kejatuhan sesuatu bangsa, psikologi beribadat kepada Allah, catatan tindakan manusia, kesinambungan hidup dan pelbagai masalah lain.

Sepatutnya, Umat Islam hari ini dengan panduan al-Quran berjaya membentuk sebuah pemerintahan bersifat empayar yang menguasai semua negara lain yang tunduk dan bernaung bawah kekuasaannya.  Bukankah ini sesungguhnya matlamat penurunan al-Quran sebagaimana yang pernah dijanjikan Allah kepada orang yang beriman melalui firman-Nya:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka:  khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka;  dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamananan setelah mereka mengalami ketakutan.  Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku.  Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu,  maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. (An-Nur: 55)

KEADAAN UMAT ISLAM KINI

Sejarah telah membuktikan kegemilangan tamadun Islam adalah berasaskan kepada ketinggian nilai amalan Islam di zaman Rasulullah S.A.W. yang menyaksikan kesempurnaan agama Islam terzahir melalui contoh tauladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat.  Ini diikuti dengan zaman para khulafa’ al-Rashidin yang dibimbing sebelumnya oleh Rasulullah S.A.W. Kehebatan kurun-kurun awal Islam ini tercermin dalam hadis Nabi S.A.W. yang menyebut “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian  kurun yang selepasku dan kurun yang selepasnya” (Bukhari dan Muslim). Dari segi perkembangan dan kegemilangan tamadun ilmu, ketinggian tamadun Islam sampai ke kemuncaknya pada abad ke 9-12M terutama dalam pemerintahan kerajaan Abbasiyyah apabila munculnya ilmuwan-ilmuwan berwibawa dalam pelbagai bidang serta timbulnya pusat ilmu pengetahuan yang begitu pesat. Antaranya tokoh-tokoh ilmuwan dalam falasafah seperti al-Kindi, al-Farabi , Ibn Sina dan Ibn Rushd. Dalam bidang perubatan selain Ibn Sina muncul tokoh-tokoh seperti al-Zahrawi, Abu Bakar al-Razi dan Ibn Nafis. Dalam akidah pula lahir tokoh-tokoh besar seperti al-Ash’ari dan al-Maturidi, al-Baqillani, al-Juwayni dan al-Ghazali. Dalam bidang fikah pula muncul imam-imam mazhab yang empat iaitu Shafi’i, Malik, Abu Hanifah dan Ibn Hanbal. Juga dalam bidang astronomi seperti al-Biruni dan al-Khawarizmi. Kebanyakan dari mereka mempunyai ilmu yang ensiklopedik. Di masa yang sama juga timbul pusat-pusat ilmu pengetahuan seperti di Baghdad dengan kehebatan Bayt al-Hikmah, perpustakaan dan pusat penterjemahan yang terkenal.

Namun, sebaliknya, pada hari ini umat Islam seluruh dunia ketinggalan jauh di belakang umat-umat lain, walaupun semua negara Islam memberi penekanan tentang pentingnya al-Quran sebagai sumber panduan hidup.  Hampir semua universiti di negara Islam menubuhkan fakulti yang berkaitan dengan pengkajian al-Quran.  Tidak kurang juga banyak institusi agama yang menitikberatkan tentang al-Quran dalam pelbagai aspek.  Maka lahirlah banyak siswazah Islam yang khusus dalam bidang ilmu Islam masing-masing.  Namun demikian negara-negara Islam masih ketinggalan dalam semua bidang berbanding dengan negara-negara Barat yang lebih maju.  Negara-negara Islam kaya dengan sumber alam seperti minyak dan gas—malah ada negara Islam yang sangat kaya—tetapi negara-negara ini masih mundur.

Soalnya, adakah sebab utama semua itu berlaku sebagaimana yang pernah dikhabarkan dalam al-Quran: Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sesuatu yang tiada dipedulikan”.  (Al-Furqaan:30).

Apakah segala pengkajian yang dilakukan selama ini berhubung dengan al-Quran oleh institusi pendidikan tinggi berkaitan dengan al-Quran di seluruh dunia Islam hari ini tidak dapat memahami kehendak al-Quran yang sebenar sebagai kitab yang memimpin umat manusia mencapai kebahagiaan yang abadi? Adakah puncanya kerana umat Islam sekarang membelakangkan al-Quran sebagai panduan hidup sehingga mereka rata-ratanya ditimpa pelbagai kehinaan? Sebutlah apa-apa kehinaan jua dan semaklah sama ada Umat Islam semasa ada yang terlepas darinya: kemiskinan; buta huruf; hilang semangat perjuangan; rasa rendah diri; menjadi pengguna barangan yang dikeluarkan oleh umat lain dan bukannya pengeluar barangan untuk kegunaan umat lain; kehidupan dan keselamatan yang tidak terjamin, bahkan hidup atas belas ihsan negara maju yang lain; menjadi alat untuk mengekalkan pengaruh politik dan kepentingan ekonomi kuasa-kuasa besar; lemah dan tidak mampu mempertahankan maruah bangsa dan negara, malahan tunduk kepada ugutan dan amaran kuasa-kuasa besar dunia; hanya mampu bersuara di pentas dunia tetapi tidak berdaya bertindak untuk membela negara Islam yang dizalimi; berbangga dengan kegemilangan masa silam tetapi tidak berusaha mencipta kegemilangan masa kini (Memahami al-Quran Membina Peradaban); mengakui diri mereka adalah umat terbaik yang menjadi contoh kepada umat-umat lain dan merasa mereka sentiasa dalam jaminan Allah tanpa menyumbang sesuatu untuk kebajikan masyarakat dunia!

Apa sebenarnya yang telah kita lakukan terhadap al-Qur’an sehingga dalam kalangan Umat Islam kini berlaku gejala-gejala berikut?: pengerjaan ibadat hingga menjadi adat tanpa memahami roh ibadat; kecenderungan membaca al-Quran untuk mendapat keberkatan dan berlagu dengan ayat-ayat suci al-Quran namun tiada usaha keras ke arah memahami rahsia dari pengajaran al-Quran; sangat kurang sikap bersaing untuk mencapai kemajuan dan mudah berpuas hati dengan apa yang ada padahal masih banyak ruang ke arah penambahbaikan; tidak memahami dan tidak menghayati rahsia rukun Islam dan rukun iman; mengamalkan agama secara taklid terus-terusan tanpa disusuli dengan kesungguhan meningkatkan kefahaman; mengadakan majlis perayaan bagi mengingati peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan-bulan tertentu dalam zaman Islam tanpa memahami rahsia peristiwa tersebut kerana mereka mengetepikan pengajaran Tasawuf (Pengajaran ilmu Tasawuf mencerahkan kepintaran sebenar kemanusiaan.  Fikah berkait dengan zahir agama, yakni: rupa atau bentuk agama, manakala Tasawuf berkait dengan batin agama, iaitu: roh atau rahsia.  Kedua-duanya sama penting dan perlu sentiasa bersama, tiada berpisah).

Pada masa kini tidak ramai ulama tafsir yang dapat menerangkan kandungan Al-Quran secara teratur dan padat.  Kebanyakan mereka hanya mengatakan Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu secara umum berhubung dengan akidah, akhlak dan amalan, tetapi tiada ramai yang mampu menerangkan secara jelas jenis-jenis ilmu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan untuk manusia hidup aman dan bahagia.

Maka mereka yang membaca tafsir Al-Quran tidak dapat mengenal pasti ilmu-ilmu utama dalam Al-Quran.  Malah tafsiran itu sendiri mengelirukan. Pembaca merasa Al-Quran bagaikan kitab keramat tanpa tujuan dan latar belakang tertentu. Justeru itu, tafsiran Al-Quran yang dikarang didapati tidak mampu membuat kesimpulan yang kukuh untuk menggambarkan kehendak Al-Quran.

PENDIDIKAN AL-QURAN DAN MASA DEPAN UMMAH

Jika umat Islam dibiarkan berterusan mempelajari Al-Quran dengan cara ini, tanpa suatu usaha memahami hakikat Al-Quran yang sebenar, ada kemungkinan pemikiran generasi akan datang bertentang dengan pengajaran Al-Quran kerana mereka tidak mendapat panduan yang baik dari Al-Quran yang diagungkan itu.  Maka intisari Al-Quran perlu didedahkan dengan jelas sebagai panduan kepada semua peringkat manusia supaya mereka mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Usaha menyelami saripati al-Quran ini sesungguhnya bukan baharu bahkan sudah dilakukan oleh alim-ulama terbilang yang dahulu seperti: Imam Abu Hamid al-Ghazali (wafat 505H)—yang digelar “Hujjatul Islam”—lawat karyanya Jawahirul Qur’an; `Izzuddin bin Abdus Salam as-Sulami (wafat 660H)—yang digelar “Sultanul Ulama’”—menerusi karyanya Nubaz min Maqasidil Kitabil Aziz; dan Syah Wali Allah Al-Dihlawi (1703–1762M)—yang dianggap mujaddid abad ke lapan belas—dalam dua kitabnya Hujjat Allah Al-Balighah tentang falsafah syariat dan Al-Fawz al-Kabir Fi Usul Al-Tafsir  tentang ilmu tafsir yang diakui oleh mazhab Ahl Sunnah wa al-Jamaah.

Dalam kesempatan ini, wajar sekali kita merenung kembali—sebagai satu contoh—apa yang pernah Syah Wali Allah terangkan perihal intisari Al-Quran di dalam kitabnya Al-Fawz al-Kabir Fi Usul Al-Tafsir.  Menurut beliau, pati Kitab Suci ini dapat dibahagikan kepada lima jenis ilmu:

  1. Ilmu tentang hukum-hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram dalam bidang ibadat, muamalat, pentadbiran rumah tangga dan siasah negara. Huraian ilmu ini menjadi tanggungjawab Fakih, iaitu pakar dalam undang-undang.
  1. Ilmu tentang perdebatan dan penolakan dakyah sesat oleh empat golongan terbesar seperti Yahudi, Nasrani, Musyrikin dan Munafik.  Ilmu ini dihuraikan oleh ulama kalam.

  • Ilmu tentang nikmat-nikmat Allah kepada manusia yang merangkum penjelasan terhadap kejadian langit dan bumi, sifat-sifat Allah taala yang mahasempurna, dan petunjuk-hidayah yang diilhamkan kepada hamba-Nya berkenaan sesuatu yang diperlukan oleh mereka.

Manusia perlu mengenali kejadian Allah dalam alam ini.  Kejadian itu mempunyai pelbagai tabiat yang berlainan dan ada ketikanya berlawanan, tetapi pada hakikatnya semua kejadian itu untuk keperluan kehidupan manusia. Kekeliruan pada pendapat manusia tentang kejadian itu semata-mata kerana manusia tidak mengetahui kegunaannya daripada segi masa dan sebab kejadian itu perlu  digunakan.  Maka untuk meneruskan kehendak fitrah manusia supaya kehidupannya dapat berkembang maju, Allah menurunkan ilmu falsafah dalam Al-Quran yang memperkenalkan nikmat Allah supaya manusia tahu menghargai pelbagai kejadian Allah itu adalah nikmat untuk manusia.

  1. Ilmu tentang peristiwa-peristiwa atau kejadian-kejadian penting yang berupa akibat-manfaat kepada insan yang taat dan balasan-seksaan untuk insan yang ingkar.
  1. Ilmu tentang mengingati mati (iaitu perpisahan dari kehidupan duniawi) dan apa yang akan berlaku selepas mati seperti azab kubur, perhimpunan di Mahsyar, timbang amal, syurga dan neraka.

Ilmu-ilmu dalam bahagian (iii), (iv) dan (v) dihuraikan oleh pakar yang tahu menyesuaikan setiap ilmu itu dengan maksud hadis Nabi s.a.w dan amalan sahabat. Pakar yang dimaksudkan ini dalam konteks zaman kita sekarang barangkali boleh kita ungkapkan sebagai ahli sufi yang sekali gus juga ahli falsafah dan ahli sains.

PENUTUP

Melalui penghuraian di atas jelas bahawa pendidikan al-Quran bersifat merentasi kurikulum dan manfaat dari kefahaman al-Quran sebagai panduan dalam membimbing umat manusia ke arah pembinaan sebuah tamadun yang mendukung nilai-nilai kemanusian yang sebenar hendaklah diusaha untuk menjadi kenyataan.

Akhir kalam saya ingin merakamkan penghargaan kepada para pembentang daripada luar dan dalam negara yang sudi memenuhi undangan untuk membentangkan kertas kerja.  Demikian juga kepada para moderator dan peserta sekalian, terima kasih atas keprihatinan anda semua untuk menghadirkan diri bagi mendengar perbahasan tentang kedudukan penting al-Qur’an sebagai pencetus gagasan pemikiran peradaban yang akan dibahaskan dengan mendalam oleh para pembentang.  Selamat berseminar dan semoga kita memperoleh manfaat yang besar daripada usaha yang dilaksanakan ini.

Dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Seminar Serantau Gagasan Pemikiran Peradaban Al-Qur’an ini.

Wassalamu `alaikum warahmatullah wabarakatuh.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my