Tidak Diketahui Tapi Pasti

“Andai ku tahu

Kapan tiba ajalku

Ku akan memohon

Tuhan tolong panjangkan umurku…”

Lirik yang acapkali ke udara di tetuang suara IKIMfm menjadi tema perkongsian minggu lalu menerusi Islam Itu Indah perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi membawa peringatan bahawa kematian itu pasti tapi waktunya masih misteri. Menjentik hati cukupkah amal buat bekal di alam yang kekal? Sudahkah nikmat di guna untuk taat dalam mengecap hidup yang berkat?

Ujian datang silih berganti selagi belum tiba yang bernama ‘mati’. Seiring musibah,  datangnya bersama hikmah. Sememangnya ujian itu pahit, terimalah dengan jiwa pasrah beserta hati yang berpegang teguh dengan tauhid. Pesan Ustaz Pahrol lagi, hakikat sebenar musibah apabila kita jauh daripada Allah SWT, Allah bawa kita kembali dekat denganNya untuk meraih jannah dengan memudarkan sombong, pemarah, hasad, cinta dunia. Sifat mazmumah akan ditekan dengan ingatan kepada kematian yang merupakan pemutus kepada kelazatan dunia.

Musibah juga adalah saluran untuk merintih dan munajat pada Allah SWT ketika kita leka padaNya. Suatu paksaan untuk dekat denganNya. Dan hikmah terbaik di balik musibah adalah lahirnya manusia yang bijaksana dengan menginggati mati dan membuat persiapan untuk kehidupan selepas mati.

Jelas ajal tidak ditangguh kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 34 mafhumnya, “Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat mendahulukannya.”

Firman-Nya lagi dalam surah al-Munafiqun ayat 11 mafhumnya “Allah tidak akan menangguh kematian sesuatu yang bernyawa (sama ada manusia atau lainnya) apabila ajalnya sampai”.

Bertuah bagi manusia yang terpilih untuk mengetahui waktu kematiannya seperti berpenyakit kronik, menerima hukuman mati dan sebagainya kerana mereka boleh membuat persiapan dan persediaan sebaiknya. Berkemungkinan juga tempoh masa yang diperuntukan lebih pendek di sisi ketetapan tuhan Yang Maha Berkuasa. Usia sememangnya ketentuan tuhan yang dirahsiakan tetapi masih ada usaha dari kita untuk panjangkan usia kita. Panjangkan usia dengan memanjangkan kuantiti masa pada usia, usahakan juga untuk memanjangkan kualiti usia dan panjangkan amal jariah dengan malan yang terus hidup walaupun kita telah tiada.

Dengan bermodalkan harta, ilmu, akhlak, keperibadian, agama, tenaga dan masa; usia mampu dipanjangkan. ‘Panjang umur’ bermaksud kekalnya sebutan dan pujian yang baik selepas kematian seseorang seolah-olah dia masih hidup.

Jika perhatikan dalam beberapa keterangan nabi SAW, umur boleh panjang dengan sebab doa, silaturrahim, berbuat baik dengan ibu bapa, jiran tetangga dan juga semua jenis amal kebajikan. Antaranya ialah berkaitan silaturrahim seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa dia mendengar nabi SAW bersabda mafhumnya “Barangsiapa yang suka dibentangkan baginya rezekinya dan dilewatkan ajalnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Riwayat al-Bukhari).

Kualiti usia boleh diperolehi menerusi amalan solat secara berjamaah sepertimana sabda Rasullullah SAW daripada Abdullah bin Umar RA mafhumnya, “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.”. Itu yang membezakan kualiti umur hamba Allah berusia 40 tahun yang menghabiskan usianya dengan solat bersendirian dengan hamba Allah yang berusia 20 tahun yang istiqomah menunaikan solat secara berjamaah. Selain itu, dengan solat berjamaah di masjid setiap langkah menuju ke masjid meningkatkan darjat dan langkah pulang dari masjid akan menghapuskan dosa. Diriwayatkan daripada Muslim daripada Uthman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim). Bertambah hebat jika di sulami solat sunat di rumah sebelum melangkah ke masjid.

Petua panjang usia juga dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa di samping mengamalkan adab-adab dalam islam. Siapa tidak kenal Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazali tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad. Contoh lain Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya. Itu pencen kubur, saham akhirat; walaupun jasad sudah tiada namun amalan masih hidup dan berterusan.

Beruntunglah pada mereka yang bergelar guru, pendidik mahupun murabbi kerana mereka adalah lagesi penyambung tugas Rasullullah SAW. Mereka peroleh kebaikan ilmu yang dimanfaatkan, doa anak soleh dan amal jariah yang berpanjangan yang datang sebagai pakej bersama anak didik yang diberinya tunjuk ajar.

Selain itu, rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur adalah dengan banyaknya bersedekah. Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan. Sesungguhnya dunia akan sentiasa menyediakan jalan kepada orang seumpama ini. Harta yang dimiliki usah disimpan, dan harta yang salurkan ke jalan Allah SWT berupa sedekah juga berupaya melipat gandakan usaha  amalan. Harta yang menjadi milik sebenar kita adalah yang dikeluarkan di jalan Allah dan harta yang  disimpan itu milik orang lain selepas ketiadaan kita.

Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). Bersedekahlah walau hanya sebelah kurma kerana ia lebih bernilai dari bergedung-gedung harta.

Umar Ibn Aziz yang pernah mengungkapkan, “mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi iaitu alam akhirat. Manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!” Justru, Hidupkanlah hidup selagi hidup sebelum mati menjemput kita.

Sesungguhnya mati itu tidak diketahui tapi pasti. Kematian akan melenyapkan seluruh kenikmatan, bersiap sedialah menghadapi kematian yang pasti akan hadir. Biarlah ‘kematian’ itu hidup dalam diri kita kerana ingat mati akan ‘menghidupkan’ kita.

Orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat sebelum terlambat. Saya akhirkan inti pati perkongsian Islam Itu Indah dengan lirik akhir lagu di awal penulisan tadi.

“Ampuni aku,

Dari segala dosa-dosaku,

Ampuni aku,

Menangisku bertobat padamu.”

– Andaiku tahu – Ungu

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 September 2014
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top