TENTANG KAMI

Ketahui latarbelakang Radio IKIM, Inspirasi Inforia Islami


Radio IKIM yang sebelum ini dikenali dengan nama IKIMfm telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri ketika itu, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Julai 2001.

Ianya merupakan satu-satunya stesen radio berkonsepkan pendekatan Islami yang beroperasi selama 24 jam sehari setiap hari ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ianya menggabungkan program yang bersifat mendidik jiwa dan juga program berbentuk hiburan yang tidak melalaikan, di samping turut menyajikan pelbagai maklumat yang bermanfaat.

Sekitar 95% programnya dipersembahkan dalam bahasa Melayu manakala selebihnya dalam bahasa Arab dan Inggeris.

Anggaran rasmi oleh pihak Nielsen Company (Malaysia), sebuah syarikat pengkaji (survey) antarabangsa terhadap semua radio-radio di Malaysia telah mencatatkan bahawa seramai 1.04 juta pendengar Radio IKIM di Semenanjung Malaysia mengikuti radio Islami ini. Jika mengambil kira  keseluruhan pendengar termasuk di Sabah dan Sarawak, malah siaran ini turut meliputi sebahagian selatan Thailand,  Singapura dan  Batam Indonesia, kami menjangkakan ianya hampir dua juta pendengar.

Bermula sebagai satu-satunya radio tanahair beroperasi menggunakan sistem digital sepenuhnya, Radio IKIM mengorak langkah membina nama sebagai radio Islam tunggal negara bersiaran 24 jam menyebarkan kefahaman Islam bukan sekadar di bumi Malaysia, malah lebih membanggakan Radio IKIM hari ini telah didengari lebih dari 100 negara di seluruh dunia.

Radio IKIM pernah mencatat jumlah pendengar melepasi sejuta pendengar dan kesetiaan pendengar Radio IKIM saban tahun semakin meningkat menyaksikan dari 8 jam 41 minit pada awal tahun lalu, kepada 9 jam 43 minit ketika melabuhkan tirai tahun 2012 berdasarkan bancian Nielsen 2/2012.

Radio IKIM terus mengikat pendengar untuk terus bersama mereka dengan memantapkan program-program sedia ada dan ditambah dengan kemunculan program-program baharu yang menjadikan Radio IKIM terus unggul menjadi pilihan utama pendengar setianya.

Jika khalayak mengganggap radio berkonsepkan dakwah hanya sesuai untuk generasi lama, ianya salah sama sekali kerana jika dilihat kepada kajian Nielsen baru-baru ini, pecahan pendengar mengikut kategori perkerjaan menunjukkan 31 peratus pendengar Radio IKIM adalah dari kalangan pelajar dan penuntut universiti. Ini menunjukkan Radio IKIM releven untuk semua lapisan usia dan semakin mendapat tempat di hati remaja.

Program Remaja yang bernafas baru dengan penampilan wajah baru ini juga dikira sangat bertepatan dengan naluri remaja yang santai dan penuh dengan sifat ingin mencuba dengan mengenengahkan isu-isu semasa yang memberi ruang remaja berfikir dengan lebih kritis, dinamik dan segar. Ianya disiarkan setiap hari Selasa jam 10-11 malam. Satu lagi program untuk remaja ialah Suara Siswa khusus untuk pelajar di IPT yang disiarkan setiap Rabu jam 10-11 malam.

Sejak di kendalikan oleh Dj Faiz sejak awal tahun 2012, Remaja bukan sahaja Berjaya mencuri hati ramai remaja malah dari peringkat usia yang pelbagai. Ini terbukti apabila kajian Nielsen mencatatkan Remaja pernah mencapai jumlah pendengar 110,000 pendengar dari pelbagai lapisan usia.

Apa yang lebih membanggakan, purata 22,000 pendengar akan terus setia mendengar Remaja selama 1 jam itu.

Teruskan kesetiaan anda bersama Radio IKIM, Inspirasi Inforia Islami.