Tarbiyah Diri untuk Ibu Bapa

PROF. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Tarbiyah Diri untuk Ibu Bapa”. Beliau memulakan dengan mengajak agar kita semua setiap hari tidak lupa untuk menitipkan doa setiap hari kepada ibu bapa. Yang dimaksudkan dengan tajuk ini ialah agar kita mampu mentarbiyahkan diri kita untuk berbakti kepada ibu bapa kita yang jika kita belanjakan segala harta benda dan kemewahan kita untuk membalas bakti ibu bapa nescaya kita tidak akan mampu membalasnya. Dalam al-Quran menyebut banyak ayat-ayat al-Qur’an mengajar kita agar mendoakan ibu bapa kita, bahkan lebih banyak lagi ialah ayat-ayat al-Qur’an yang mengajar kita agar berdoa memohon Allah memberikan kepada kita zuriat yang soleh dan solehah. Kenapa doa ibu bapa untuk anaknya lebih banyak daripada doa anak untuk ibu bapanya? Kerana apa yang  didoakan oleh ibu bapa itu sebenarnya melahirkan dan mencorakkan anak-anaknya seumpama seni dalam lakaran lukisan pada kain kanvas yang putih. Ia memberi indikasi mudah bahawa ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak mereka, dan anak-anak itu pula nanti akan membalas jasa ibu bapa mereka. Walaupun usia sedewasa mana kita sekalipun, namun di sisi ibu ayah kita, kita tetap anaknya yang dilahirkan dahulu dan seolah masih kecil seperti dulu dan akan terus menasihati kita sepertimana kita kecil-kecil dulu.

Kita dianjurkan agar memperbanyakkan doa-doa yang ma’thur kepada ibubap kita antara doanya ialah yang berbunyi maksudnya “Ya Allah ampunkan dosaku dan dosa kedua ibu bapaku”, begitu juga doa Nabi Sulaiman AS sepertimana yang dirakamkan dalam Surah al-Nahl ayat 19 yang bermaksud “ Wahai Tuhanku, anugerahilah aku ilham untuk mensyukuri nikmatMu yang engkau anugerahkan kepadaku dan ilhamkan kepadaku untuk mensyukuri kedua-dua ibu bapaku. Ibu bapa tidak dapat dibeli dengan berapa juta ringgit sekalipun, dan ibubap tidak “dijual” di mana-mana samada Mega Mall yang terbesar sekali di dunia. Hargailah ibu bapa kita kerana itulah takdir Allah SWT yang tentukan kepada kita untuk kita. Kita hendaklah bersyukur bahawa merekalah anugerah Allah SWT yang terhebat untuk kita walaupun mereka tiada pendidikan tinggi, atau tiada harta namun pemilihan Allah agar mereka menjadi ibu bapa kita itu adalah pemilihan Allah SWT yang mempunyai hikmah yang besar untuk kebaikan kita. Tidak sewajarnya juga kita memuji ibu bapa orang lain dan mengharapkan ibu bapa orang itu menjadi ibu bapa kita kerana tindakan itu sudah pasti akan mengguris perasaan ibu bapa kita. Kadangkala ada yang menyebut “seronoknya dapat ibu atau ayah seperti ibu bapa si pulan” sedangkan ungkapan itu seolah menyalahi takdir dan pemilihan Allah SWT yang telah memilih ibu bapa untuk kita. Jika didengari oleh ibu bapa kita juga, ungkapan itu sudah pasti mengguris perasaan mereka.

Kita kerapkali lupa dan menyangka bahawa anak-anak sahaja anugerah kepada kita selaku ibu bapa yang ingingkan zuriat, sedangkan kita lupa ibu bapa kita itu juga anugerah kepada kita selaku anak-anak mereka.

Banyak lagi doa-doa dalam al-Qur’an yang menganjurkan kita berdoa untuk ibu bapa kita dan antaranya yang paling pendek sekali sepertimana disebut dalam Surah al-Isra ayat 24 bermaksud “\”Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil\”.

Kita juga hendaklah berdoa memohon hidayah untuk ibu bapa kepada kita. Hidayah bukan bermaksud memohon hidayah agar memeluk Islam sahaja, atau hidayah kepada yang belum solat agar solat sahaja, tetapi hidayah amat luas sekali maksudnya. Adapun hidayah seperti yang kita sebutkan itu ialah “hidayah khas”, tetapi para ulama seperti Ibnu Kathir juga menyebut ada hidayah yang bersifat umum atau  “hidayah am”, iaitu diberi apa jua petunjuk dalam melaksanakan apa sahaja kebaikan. Setiap waktu sebenarnya kita memerlukan hidayah daripada Allah agar memberi petunjuk kepada kita membuat pemilihan dan keputusan yang terbaik. Hidayah merupakan milik mutlak Allah SWT, dan tiada siapa pun boleh memberi hidayah walaupun kepada orang yang paling dikasihinya sepertimana maksud Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud “Sesungguhnya engaku (wahai Muhammad) tidak dapat memberi hidayah kepada orang yang kau sayangi, tetapi Allahlah jua yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki”.

Apa yang kita boleh lakukan ialah kita sering berdoa kepada Allah SWT agar Allah menjadikan kita asbab orang yang kita kasihi atau sesiapa sahaja mendapat hidayah sepertimana doa yang dianjur dibacakan: “Ya Allah, jadikanlah aku asbab kepada orang agar mendapat hidayah”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Ogos 2017
Scroll to Top