Tanggungjawab Suami Dalam Membentuk Keluarga Bahagia

KEHADIRAN Saiyidatina  Khadijah binti Khuwailid  sebagai suri  dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW memberi  satu kekuatan dan tenaga  pendorong untuk menghadapi tugas yang amat berat. Beliau  menjadi teman hidup yang dapat menghilangkan kesepian , memberi kehidupan di kala duka, malah rela berkorban  demi suami tercinta  Rasulullah SAW. Beliau adalah seorang wanita yang dihormati dan dipandang tinggi serta suka membantu mereka  yang lemah dan yang memerlukan.

Baginda SAW  pada ketika itu yang digelar sebagai  ‘al-Amin’ memperdagangkan barangan  Saiyidatina Khadijah serta mendapat keuntungan.  Saiyidatina Khadijah melamar Rasulullah SAW  kerana tertarik dengan peribadi Baginda. Usia Saiyidatina Khadijah ketika itu ialah 40 tahun dan Rasulullah SAW pula 25 tahun. Namun demikian persoalannya mengapakah Saiyidatina Khadijah begitu  terkesima dan kagum   sehingga ingin   melamar Rasulullah  SAW sebagai pasangan hidup? Bagi merungkaikan persoalan tersebut,   Ustaz  Muhammad Abdullah al – Amin  ketika bersiaran dalam  rancangan Pesona D’Zahra pada minggu lepas  menjelaskan bahawa sifat amanah yang dipamerkan  oleh Baginda  SAW dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap  diri, keluarga dan masyarakat sedikit sebanyak  telah  menjadi faktor daya  penarik  untuk  Saiyidatina  Khadijah  melamar Baginda SAW .

Sejarah telah membuktikan dengan sifat tanggungjawab  yang ada pada  Nabi Muhammad SAW telah membawa Baginda memperolehi  keuntungan yang besar dan berlipat kali ganda ketika menjalanakan tugas membantu perniagaan  isteri  Baginda SAW,  Saiyidatina Khadijah.  Justeru,  dalam hal ini,  sebagai umat Islam kita juga dituntut untuk mengikut jejak langkah  Baginda SAW. Misalnya  sebagai pekerja Muslim yang telah diberikan amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang besar seharusnya kita berusaha mencapainya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh; apatah  lagi kita menyedari bahawa hasil daripada pendapatan itulah akan menjadi sumber rezeki yang halal dan punca kepada kebahagian untuk diri dan kesejahteraan keluarga. Seorang pekerja yang diberi amanah besar mestilah  sanggup bersedia melaksanakan tugas dengan cekap, pantas, teliti dan sempurna dan tidak berkira dalam melaksanakan tanggungjawab dan sentiasa melakukan kerja yang terbaik.

Ringkasnya, setiap individu memiliki  tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Hadis daripada  Ibn Umar R. A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya., seorang ketua negara adalah penjaga dan dia  bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami adalah penjaga keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap keluarganya, seorang isteri adalah  penjaga rumahtangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya , seorang khadam (pembantu) adalah penjaga terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap dipimpinnya .” (Riwayat al –Bukhari).

Tidak dapat disangkal lagi  bahawa segala apa yang dialami oleh Rasulullah SAW adalah contoh panduan kepada seluruh umat Islam. Kehidupan dan keperibadian Baginda SAW  umpama “manual” panduan untuk dilihat dan dijadikan contoh oleh seluruh manusia dan seharusnya kita fahami bahawa Baginda SAW  adalah sebaik-baik contoh dan ikutan . Dalam aspek membina  keluarga  bahagia,  keperibadian Rasulullah  SAW terhadap isteri dan  anak-anak  wajar dicontohi pasangan pada zaman kini. Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarga. Walaupun Baginda seorang pemimpin masyarakat , kewibawaannya  sebagai suami dan ayah tidak dapat ditandingi. Nabi Muhammad  SAW juga seorang suami yang ringan tulang, sering membantu isteri dalam urusan rumah tangga tanpa disuruh.  Sewaktu hayat Baginda SAW , keprihatian terhadap segala permasalahan  yang dihadapi oleh masyarakat  ditangani dengan sebaik mungkin dalam usaha membentuk dan membina satu tamadun yang sangat gemilang dan dihormati seantero dunia . Misalnya, Rasulullah SAW  telah  dijadikan sebagai  tempat rujukan oleh masyarakat pada ketika itu dalam menangani peristiwa peletakan semula Hajar Aswad.

Menerusi tajuk  perbincangan “Kenapa Saidatina Khadijah Melamar Rasulullah SAW? Ustaz Muhammad turut  menekankan bahawa bagi memastikan kerukunan sesebuah rumahtangga dan keluarga, Islam menggariskan peraturan tertentu yang merupakan tanggungjawab suami iaitu  pemberian nafkah kepada isteri. Hukum atau peruntukan bagi suami menunaikan tanggungjawab itu jelas melalui firman Allah SWT: “Hendaklah  orang yang mampu  memberi nafkah mengikut kemampuannya . Dan orang yang disempitkan rezekinya , maka hendaklah dia memberi  nafkah dari apa yang diberikan Allah kepada (sekadar yang mampu) ……” (Surah a –Talaq, ayat 7)  Oleh itu,  si  suami wajib memberi nafkah kepada keluarga  mengikut kemampuannya. Dalam erti kata yang lain, berdosalah bagi suami yang menahan nafkah ke atas orang-orang yang di bawah tanggungannya. Kewajipan tersebut   turut ditegaskan sebagaimana Rasulullah SAW bersabda   “Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia(iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Dalam masyarakat pada hari ini, meskipun didapati kedua-dua  suami isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Walau bagaimanapun isteri boleh membantu di mana yang sesuai. Sumbangan isteri kepada keluarga ini dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah  SWT. Selaku umat Islam kita hendaklah mencontohi rumah tangga Rasulullah SAW  ke arah menjadikan keluarga sebagai syurga dunia. Untuk itu perjalanan hidup berumah tangga mestilah berpandukan ajaran Islam dan dijadikan tempat untuk merealisasikan ajaran tersebut secara menyeluruh. Selain itu, dalam isu pemberian nafkah , suami juga perlu memahami  walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri ,  tanggungan suami bagi memberikan nafkah zahir itu tidak hilang secara automatik .  Walapun dalam situasi di mana pendapatan isteri adalah jauh lebih besar daripada suami.  

Islam mensyaratkan setiap lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap  kaum wanita. Sebagai pemimpin, suami dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka.Walaubagaimanapun, kita dapat melihat pada hari ini, sesetengah suami yang semakin  jauh dari menjalankan  tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenar.  Mungkin kerana itulah  mahligai indah yang dibina selama  ini akhirnya  runtuh akibat kurangnya kefahaman dan  pengahayatan  suami terhadap nilai-nilai murni  yang dianjurkan  oleh Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Februari 2016
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top