Suara Dari Kubur

KUBUR merupakan rumah pertama yang kita akan tinggal, namun ramai di kalangan manusia yang tidak mampu menceritakan tentang keadaan kita di dalam kubur nanti. Kecuali apa yang diajar oleh agama untuk membantu mereka dikurniakan nikmat yang berterusan tatkala kembali menghadap Allah SWT.  Mengikut Ibnu Qayyim al-Jawzi, apabila manusia meninggal dunia dia akan bertukar menjadi roh yang terdapat di dalam dua keadaan sahaja iaitu sama ada roh tersebut mendapat nikmat atau mendapat siksa di dalam kubur. Arwah atau roh yang tersiksa tidak akan bertemu dengan roh-roh yang lain atau tidak mampu melihat kembali kehidupan di dunia. Tetapi sekiranya roh yang meninggal dunia itu di kalangan mereka yang diberikan nikmat, sentiasa mengadakan kunjungan di antara satu sama lain dan mengingatkan kembali perkara-perkara yang telah mereka lakukan di dunia dahulu.

Di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap hari Khamis, jam 5.15 petang, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerangkan tentang turutan perkara yang akan di hadapi oleh si mati bermula saat  diturunkan ke liang lahat sehinggalah selesai sesi soal jawab bersama malaikat Mungkar dan Nakir. Setelah berjaya menjawab pertanyaan malaikat, kubur akan diperluaskan sebesar 70 depa atau ada yang meriwayatkan seluas saujana mata memandang. Ini adalah keadaan kubur bagi ahli-ahli syurga dan ia akan mula merasa nikmat mengalami perubahan kubur yang berwarna hijau kejernihan dipenuhi pokok-pokok dan rumput rampai di dalam sebuah ladang yang luas dan indah. Kita akan merasa sangat kagum dan bertanya kepada malaikat dari manakah datangnya keadaan yang begitu indah itu. Malaikat akan menjawab ini adalah hasil daripada amalan tahajud yang telah dilakukan sewaktu hidup di dunia dahulu. Singkatnya waktu yang digunakan untuk tidur ketika hidup di dunia, akan menjamin kerehatan yang panjang setelah kita kembali menghadap Allah SWT kelak.

Kemudian akan sayup-sayup kedengaran seolah-olah dengungan lebah, yang sebenarnya adalah suara-suara dari kejauhan yang menyebut, “Biarkan dia..biarkan dia, kerana dia masih lagi kepenatan dan keletihan kerana telah menempuhi perjalanan panjang yang perlu di lalui di dalam hidupnya. Seterusnya akan kelihatan arwah-arwah yang telah meninggal dunia sebelum daripada kita. Kita juga akan saling ziarah-menziarahi dan memperlihatkan kain kapan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan menjadi satu kebanggaan kerana ia dipakaikan oleh anak kita, sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan bahawa setiap di kalangan mayat itu akan berbangga terhadap kain kapan yang dipakaikan kepadanya. Pemakaian kain kapan yang cantik itu adalah berdasarkan kepada syariat dan bukan terletak kepada nilai harganya yang mahal.

Menurut Ibnu Qayyim RA, roh di kalangan mereka yang diberikan nikmat tidak akan terikat di dalam suasana kubur, malah dapat ziarah-menziarahi di antara satu sama lain serta melihat mereka yang datang menziarahi kuburnya. Pada malam pertama, Allah akan menunjukkan keadaan jenazah yang mula membengkak tubuh badannya. Kemudian pada malam ketiga, setelah diperkenankan Allah permohonan roh untuk melihat keadaan jasadnya yang semakin membengkak, roh mula menyedari bahawa alangkah ruginya manusia menjaga jasad tetapi tidak sibuk menjaga amalan.

Walau bagaimanapun bagi roh yang mendapat siksaan di dalam kubur, ia merupakan keadaan yang amat menakutkan. Rasulullah SAW menggambarkan suatu suasana yang menakutkan sehingga kita diajar supaya menziarahi kubur-kubur ahli keluarga kita. Seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA menuturkan bahawa Abu Razim bertanya: “Ya Rasulullah, sesungguhnya di dalam perjalananku ini, aku akan melintasi kubur-kubur orang yang meninggal dunia. Apakah ada ucapan yang harus aku ucapkan ketika mana aku berjalan melintasi kubur itu, ya Rasulullah?” Lalu baginda menjawab: “Setiap kali kamu melihat kubur-kubur orang mukmin, tolonglah ucapkan, salam sejahteralah ke atas ahli kubur di kalangan orang muslimin dan mukmin. Kamu semua telah mendahului kami, kami ini akan mengikuti jejak langkah kamu sebentar lagi.” Kemudian Abu Razim bertanya lagi kepada Baginda apakah dengan memberi salam seperti itu, ia akan didengari oleh ahli kubur? Baginda berkata mereka itu mendengar tetapi tidak dapat menjawab.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya dan al-Baihaqi daripada Muhammad Ibnu Wasiq, dia menyatakan: “Pernah sampai kepadaku bahawa orang yang meninggal itu, mengetahui orang yang menziarahinya pada hari Jumaat, sehari sebelum dan sehari selepasnya.” Di dalam firman Allah menyebut: “Jangan kamu sangka orang yang mati syahid itu mati, bahkan dia hidup, disisi Allah mereka di dalam keadaan hidup.” Imam Qurtubi juga menerangkan mungkin Allah menghidupkan mereka di dalam kubur dengan roh-roh mereka di bahagian tertentu pada badannya. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa mereka yang mati syahid ini tidak diuji di dalam kubur dan tidak terputus hubungan mereka, mereka hidup di dalam kubur sebagaimana layaknya orang yang hidup di atas dunia. Apabila Rasulullah SAW melalui kawasan Uhud, Baginda membaca ayat  ke 24 di dalam surah al-Ra’d: “Sejahtera ke atas kalian semua dengan apa yang teruji di dalam hidup kamu, kesabaran kamu itu dan tempat yang kamu tinggal itu sebaik-baik balasan kepada diri kamu sendiri”.

Manakala di dalam riwayat daripada Yahya bin Ibnu Muin menuturkan bahawa seorang penggali kubur berkata padanya: “Satu kejadian yang paling pelik yang pernah aku temui daripada kubur-kubur ini ialah aku pernah mendengar suara rintihan daripada satu kubur seperti orang mengaduh kesakitan. Aku juga dengar daripada kubur yang lain, penghuninya menjawab azan yang dikumandangkan oleh muazzin”. Oleh itu adalah wajar sekiranya kawasan perkuburan terletak berhampiran dengan masjid agar memudahkan ia diziarahi dan diperdengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran  dan doa, malah tidak ditempatkan perkuburan itu di kawasan yang terasing.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Februari 2016
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top