PERHATIKAN SUMBER REZEKIMU

Konsep rezeki yang dihalalkan dalam syariat Islam boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang memberikan manfaat kepada kehidupan manusia seperti wang ringgit, material atau harta benda, tetapi sumber rezeki turut meliputi kesihatan yang baik, diberikan umur yang panjang, kehidupan yang bahagia dan sebagainya.

Sumber rezeki yang diperoleh perlu dipastikan kesahihannya sama ada ia halal atau haram kerana akan dipersoalkan di akhirat kelak. Jika rezeki itu diperoleh melalui jalan yang tidak dipersetujui dalam Islam dan hasilnya disalurkan kepada orang lain, ia akan mendatangkan kemudharatan kepada mereka yang menggunakan hasil tersebut.

Menerusi slot Hebahan bersama Majlis Khadijah 5.0 di IKIMfm yang bersiaran dalam segmen Inspirasi Pagi, pukul 9:30 pagi , Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali berkongsi mengenai rezeki yang haram untuk diambil oleh orang Muslim. Terdapat dua sumber rezeki yang haram didekati iaitu haram lidzatihi yakni rezeki yang zatnya boleh dilihat dengan mata kasar seperti khinzir dan arak manakala haram lighairihi terjadi daripada cara kita mendapatkan sumber rezeki itu, contohnya menipu orang lain, mengambil harta anak yatim, riba’ dan rasuah.

Nabi Muhammad SAW bersabda : “Perkara halal itu jelas dan perkara haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhat (samar-samar). Sesiapa yang meninggalkan perkara-perkara yang diragukan (yang tidak jelas) tentang dosanya, dia pasti akan lebih meninggalkan perkara-perkara yang telah jelas (dosanya). Sesiapa yang mudah melakukan sesuatu yang masih diragukan tentang dosanya, dia akan lebih mudah terjerumus ke dalam perkara yang telah jelas (dosanya). Segala maksiat adalah kawasan larangan Allah SWT. Barangsiapa yang bermain-main atau berada dekat dengan kawasan larangan Allah itu, dikhuatiri dia akan terjatuh ke dalam kawasan larangan tersebut.” hadis riwayat al-Bukhari

Seorang Muslim haruslah peka dengan perkara yang melalaikan umat manusia contohnya tindakan ingin mengaut keuntungan dengan melakukan pekerjaan yang diharamkan di sisi Islam seperti bekerja di kelab malam. Oleh itu, sebagai seorang Muslim perlu diketahui bahawa di Padang Mahsyar kelak akan dipersoalkan tentang empat perkara ini iaitu umurnya dihabiskan untuk apa, waktu muda dihabiskan untuk apa, hartanya dari mana sumber penghasilannya dan dihabiskan untuk tujuan apa dan ilmu yang ia miliki, diamalkan atau tidak.

Untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat, seseorang Muslim mestilah berusaha dan tidak memandang endah dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Perkara yang dilarang oleh Islam dalam mendapatkan nafkah seperti menipu dan rasuah haruslah dihindari. Hal demikian kerana rezeki yang tidak baik walaupun diperoleh dengan banyak ia tidak akan mendatangkan manfaat kepada mereka malah kelihatan tidak mencukupi terutamanya kepada mereka yang melakukan pekerjaan yang haram.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah orang yang mempunyai kekayaan yang melimpah tetapi hatinya terasa kosong, tidak bahagia dan lain-lain. Hal ini kerana mereka tidak banyak meluangkan masa untuk beribadah kepada Allah SWT dan lebih mementingkan duniawi. Rezeki yang diperoleh tidak semestinya dapat memberikan kebahagian kepada kehidupan seseorang itu akan tetapi keberkatan dalam hasil yang diperoleh mungkin akan memberikan seri kehidupan kepada mereka.

Menurut Dr. Engku Rabiah Adawiah, terdapat beberapa cara untuk mendapatkan keberkatan rezeki iaitu seperti berikut.

Praktikkan Solat Sunat Dhuha

Jika ingin rezeki yang diperoleh lebih diberkati kerjakanlah solat sunat dhuha di waktu pagi. Luangkan masa sebentar untuk beribadah kepada Allah dan berdoa kepada-Nya agar dimurahkan rezeki.

Dr. Engku Rabiah Adawiah berkata, dalam setiap solat yang didirikan selitkan doa agar rezeki yang diperoleh daripada sumber yang halal. Jika ade keraguan dalam sumber rezeki berkenaan berdoalah kepada Allah SWT agar rezeki yang diterima disucikan daripada segala unsur yang haram.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Dawud,  Allah SWT menjamin dicukupkan rezeki bagi hambanya yang mengosongkan masanya untuk solat dhuha. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”

Oleh itu, umat Islam harus sedar bahawa solat sunat dhuha adalah salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh setiap umat Islam kerana solat dhuha juga disebut sebagai ‘amalan pembuka rezeki’ ini mempunyai pelbagai kelebihan.

Sentiasa Bertawakkal Kepada Allah SWT

Tawakkal yang dimaksudkan disini bukanlah duduk tanpa melakukan sebarang pekerjaan dan hanya menunggu rezeki turun dari langit akan tetapi ia ditujukan kepada seseorang itu haruslah keluar mencari rezeki untuk menyara kehidupannya atau keluarganya, bertawakkal kepada tuhan agar rezeki yang diperoleh mencukupi buat menyara tanggungannya serta diberikan kesihatan tubuh badan dari segala bala musibah.

Rasulullah S.A.W mengibaratkan tawakal seperti perilaku burung dalam hadis riwayat Imam Ahmad, At-Tirmidzi, Al-Hakim, Ibnu Hibban, dan Al-Mubarak dari Umar bin Khathab, “Sungguh seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana rezekinya burung-burung. Mereka berangkat pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang hari dalam keadaan kenyang.”

Demikian, mereka yang menyerahkan segalanya kepada Allah SWT akan dijamin balasan yang baik kepadanya jika mereka berusaha dan tekun beribadah kepada Allah SWT.  Hanya sang pencipta sahaja yang kenali hamba-Nya lebih daripada semua manusia di muka bumi dan Allah pasti akan memakbulkan doa hambanya yang benar-benar dalam kesusahan.

Jadikan Amalan Bersedekah Atau Memberi Sebagai Rutin

Dr. Engku Rabiah Adawiah berkata, jadikanlah amalan memberi, bersedekah atau infaq kepada mereka yang memerlukan kerana ia akan memperkayakan kita di dunia mahupun akhirat kelak. Namun, amalan memberi juga dikaitkan dengan memberi pinjaman kepada Allah SWT yang disebut dalam surah Al-Hadid ayat 11 yang bermaksud:

Firman Allah SWT: “Barangsiapa memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat gandakan balasan pinjaman itu untuknya dan dia akan memperoleh pahala yang banyak”

Meminjam yang dimaksudkan adalah memberikan infaq atau sedekah. Jika seseorang meminjamkan hartanya ke jalan yang menuju kepada Allah SWT, kelak akan diberikan balasan yang setimpal di syurga bersama orang-orang beriman. Sebagai contoh, memberikan infaq kepada anak-anak yatim, membina masjid dan sebagainya. Hal ini adalah amalan-amalan mulia yang dituntut oleh Allah SWT tetapi setiap amalan yang diberikan haruslah dilakukan dengan ikhlas agar tergolong dalam kalangan orang beriman.

Kesimpulannya, perhatikan setiap rezeki yang diperolehi dan jika ingin mendapatkan keberkatan dalam rezeki yang diterima kerjakan amalan-amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW dan dituntut dalam Islam.

Artikel ini telah ditulis oleh Nurulasyiqin binti Azman

Scroll to Top