SIARAN MEDIA : LEMBAGA TABUNG HAJI

YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih kerana sudi hadir membuat liputan pada hari ini.

Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kita dapat sama- sama berkumpul di sini untuk Pengumuman Bonus Pendeposit TH bagi Tahun Kewangan 2015.

Pengumuman bonus pendeposit kali ini tidak lewat seperti yang diperkatakan. Ianya adalah sama seperti pengumuman pada tahun-tahun sebelum ini yang selalunya dilakukan TH di antara bulan Januari hingga Mac.

Tidak dinafikan, tahun 2015 merupakan tahun yang amat mencabar bagi Malaysia. Kita dibelenggu oleh keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, ditambah dengan kejatuhan harga minyak dan matawang serta kelembapan pasaran saham.

TH sendiri telah melalui pelbagai cabaran getir sewaktu Operasi Haji Musim 1436H lalu, seperti insiden Kren Tumbang di Masjidilharam dan Rempuhan di Mina yang telah meragut lapan (8) nyawa Jemaah Haji Negara kita. Alhamdulillah, tragedi yang berlaku, dapat kita hadapi bersama dengan baik, tanpa mengganggu kelancaran operasi haji secara keseluruhannya.

Sebelum saya mengumumkan bonus dan prestasi kewangan TH, ingin saya mengingatkan semua pendeposit bahawa simpanan mereka di TH adalah berlandaskan konsep Al-Wadi’ah Yad Dhamanah di mana simpanan dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan manakala bonus kepada pendeposit adalah hibah atau hadiah berdasarkan prestasi kewangan tahun semasa dan mengikut budi bicara TH.

Namun saya perhatikan pada setiap tahun, rata-rata pendeposit mengambil pendekatan bahawa ‘hibah’ ini adalah wajib dibayar oleh TH. Ingin saya tekankan sekali lagi, walaupun amalan pemberian hibah dibenarkan, ianya tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai “‘urf” (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi’ah.

Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadi’ah boleh menjerumuskan akad tersebut ke dalam riba yang diharamkan syara’ dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih.
Namun demikian, di sebalik semua celaan yang diterima, saya ingin berterima kasih kepada majoriti pendeposit yang sentiasa menyokong serta bersyukur di atas apa yang telah diterima dan dinikmati bersama hasil dari kejayaan TH.

Alhamdulillah meskipun dalam persekitaran yang mencabar dan tidak menentu pada tahun 2015 yang lalu, prestasi kewangan TH kekal berdaya tahan dengan rekod pendapatan sebanyak RM4.47 bilion dan keuntungan bersih selepas zakat mencecah RM3.53 bilion. Ianya adalah pendapatan dan keuntungan tertinggi sejak 52 tahun TH beroperasi.

Keuntungan bersih selepas zakat TH telah merekodkan tahap baharu melebihi RM3 bilion. Keuntungan TH telah mencecah RM3.53 bilion berbanding RM2.98 bilion pada tahun 2014, iaitu peningkatan sebanyak 19%.

Dengan prestasi tersebut, Keuntungan Boleh Agih atau Rizab Boleh Agih TH melonjak kepada RM3.82 bilion.

Prestasi ini telah menghasilkan penambahan nilai (value creation) sebanyak RM18.31 bilion kepada dana pendeposit dan peningkatan keuntungan lebih lima kali ganda sejak tahun 2006.

Hasil Strategi Alokasi Aset, pengurusan risiko serta tadbir urus yang baik dan pelaburan yang berhemah, secara langsung dan tidak langsung di dalam pelbagai sektor industri, TH terus berjaya menjana pulangan yang mampan.

BONUS TAHUNAN & HAJI TH

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Setiap tahun Kadar Bonus Tahunan TH adalah kompetitif walaupun profil pelaburannya adalah terhad kepada pelaburan berlandaskan Shariah dan simpanan di TH adalah seperti simpanan diperbankan lain, secara sukarela, tanpa had serta tiada syarat-syarat khas. Saya difahamkan kadar purata pulangan Simpanan Perbankan Islam pada tahun 2015 adalah antara 0.8% – 3.2% (Sumber BNM).

TH mengambil maklum pandangan kesemua pihak yang mengawal selia, Bank Negara Malaysia, dan apatah lagi mereka yang meragui akan daya tahan TH menghadapi cabaran mendatang, yang mungkin akan menjejaskan Rizab Boleh Agih TH.

Pada asalnya, TH merancang untuk mengagihkan keseluruhan keuntungan 2015 sebanyak RM3.53 bilion sebagai bonus, namun begitu setelah mengambil kira pandangan Bank Negara Malaysia dan prospek ekonomi tahun ini, TH akan menyimpan RM300 juta dari Keuntungan Boleh Agih tahun ini kepada Rizab Boleh Agih tersebut.

Dengan rasa penuh kesyukuran kepada Allah SWT, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa TH akan mengagihkan RM3.23 bilion sebagai hibah/bonus kepada pendeposit. Seperti yang dinyatakan tadi, baki RM300 juta dari keuntungan tahun ini akan disimpan sebagai rizab.

Dengan jumlah ini, Kadar Bonus Tahunan Pendeposit 2015 adalah sebanyak 5% dan tambahan Bonus Haji sebanyak 3% kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan Fardhu Haji.

Pembayaran Bonus 8% ini akan memberi manfaat kepada 8.23 juta pendeposit TH yang belum pernah menunaikan Haji.

Bonus ini juga telah mengambilkira 2.5% bayaran Zakat Perniagaan TH 2015 sebanyak RM59.3 juta. Bayaran zakat tersebut akan dibuat kepada semua Pusat Pungutan Zakat (PPZ) negeri-negeri.

Sehingga akhir 2015, TH mempunyai seramai 8.85 juta akaun pendeposit yang aktif, di mana seramai 8.23 juta atau 93% daripada jumlah keseluruhan ini adalah akaun pendeposit yang masih belum menunaikan haji.

Daripada jumlah 8.23 juta pendeposit yang belum menunaikan haji, 7.55 juta (85%) pendeposit mempunyai baki purata simpanan akaun kurang daripada bayaran haji sebanyak RM9,980, manakala selebihnya 685 ribu pendeposit (8%) mempunyai baki purata simpanan melebihi bayaran haji tersebut.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Alhamdulillah, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, TH terus mencatatkan prestasi kewangan yang cemerlang dan berdaya tahan.

Bilangan pendeposit TH bertambah kepada 8.85 juta akaun, manakala simpanan pendeposit telah meningkat hampir empat kali ganda sejak awal tahun 2006. Dana terkumpul sebelum bayaran bonus pada akhir 2015 berjumlah RM59.33 bilion, iaitu peningkatan 9% berbanding tahun 2014 (RM54.36 bilion). Ini menunjukkan masih ramai yang yakin dan setia dengan TH.

TH telah berjaya mengoptimakan pulangan kepada dana pendeposit dengan mencatat keuntungan bersih selepas zakat mencecah RM3.53 bilion berbanding RM2.98 bilion pada tahun 2014, iaitu peningkatan sebanyak 19%.

Bayaran zakat TH juga meningkat sebanyak 4% kepada RM59.26 juta berbanding RM57.00 juta pada tahun 2014.

Rizab Boleh Agih TH juga meningkat kepada RM593 juta berbanding RM293 juta tahun lalu.

TH juga telah berjaya melaksanakan perbelanjaan berhemah dengan membendung kos perniagaan dan mengawal kos-kos diluar kawalan yang sentiasa berubah dan meningkat.

Langkah-langkah pelan perniagaan dan pelaburan berkesan, pengurusan risiko berhemah dan kemantapan pengurusan operasi, memacu TH untuk terus mengukuh kedudukan kewangannya bagi memastikan pulangan yang mampan.

SUMBER PENDAPATAN

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

Jumlah aset pelaburan TH pada tahun 2015 terus mencatatkan pertumbuhan yang sihat sebanyak 10% kepada RM59.94 bilion daripada RM54.55 bilion pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan positif ini adalah hasil alokasi taktikal pelaburan dan tabungan yang konsisten daripada para pendeposit TH.

Selaras dengan matlamat untuk memastikan sumber pulangan yang halal dan toyyiban, serta mengekal nilai simpanan para pendeposit, TH terus melabur dalam instrumen patuh syariah yang berisiko sederhana dan stabil.

Sumber utama pendapatan TH adalah terdiri daripada :-
Pelaburan ekuiti yang menyumbang 55% (2014: 46%)
Pelaburan sekuriti hutang 16% (2014: 20%)
Pasaran wang & instrumen kewangan lain 10% (2014: 13%).
Sewaan, Pembiayaan dan lain- lain 19% (2014: 21%)

Nilai aset tunai TH kukuh, dimana aset tunai 2015 telah meningkat kepada RM10.74 bilion daripada RM6.66 bilion pada 2014, iaitu peningkatan sebanyak RM4 bilion.

TH telah meningkatkan pelaburan hartanah sebanyak RM530 juta kepada RM5.73 bilion daripada RM5.20 bilion (2014).

TH menambah portfolio ekuiti sebanyak RM2.60 bilion kepada RM17.10 bilion berbanding RM14.50 bilion(2014).

Kesemua pihak sedia maklum bahawa isu-isu global yang melingkari ekonomi bukan sahaja di Malaysia malah pasaran serantau dan Asia Pasifik, pengukuhan Dolar Amerika berbanding matawang negara-negara lain, kejatuhan harga minyak mentah sejak suku ke-empat 2014, kejatuhan harga komoditi seperti minyak sawit, kelembapan ekonomi China dan sebagainya, telah mengakibatkan ketidakstabilan pasaran saham serantau termasuk Malaysia.

SUBSIDI HAJI

TH tidak pernah lari dari tujuan asal penubuhannya. Kemampuan kewangan TH hasil dari aktiviti-aktiviti pelaburannya sentiasa disalurkan kepada pengurusan operasi hajinya setiap tahun.

TH terus akan mengekalkan Bayaran Haji sebanyak RM9,980 seorang Jemaah tahun ini, walaupun Kos Sebenar Haji pada Musim Haji 2016M/1437H ini meningkat kepada RM18,890 seorang. TH akan menanggung kos haji (subsidi) sebanyak RM8,910 seorang jemaah. TH dijangka akan menanggung keseluruhan kos subsidi sebanyak RM160 juta pada tahun ini. Ini adalah peningkatan sebanyak 27% berbanding tahun 2015.

Sejak tahun 2009, Bayaran Haji kekal RM9,980 dan kos keseluruhan subsidi Haji yang telah ditanggung selama 10 tahun adalah sebanyak RM815 juta. Ini membuktikan kedudukan kewangan TH yang kukuh serta mampan dan komitmen TH kepada para Jemaah Haji Negara saban tahun.

TINJAUAN 2016

Cabaran ketidakstabilan ekonomi dunia dan juga dalam negara pada tahun lalu dijangka berterusan ke tahun 2016. InsyaAllah, TH percaya daya tahan dan kedudukannya yang baik mampu untuk terus mendokong amanah dan matlamat penubuhannya.

Pengekalan nilai simpanan pendeposit (capital perservation) dan pengurusan operasi haji sentiasa menjadi agenda keutamaan hasil pelaburan TH.

TH percaya Strategi Alokasi Asetnya kekal relevan dan berdaya tahan. Beberapa perubahan taktikal akan dilakukan dimana penumpuan diberi kepada aktiviti pelaburan dalam negara bagi mendokong hasrat kerajaan dalam merangsangkan ekonomi tempatan.
TH juga akan terus mendokong agenda Bumiputera serta pembangunan modal insan dengan pengambilan 700 graduan dibawah program SLIM.

TH juga akan memastikan saranan-saranan Kerajaan seperti yang diumumkan didalam bajet recalibration dilaksanakan sebaik mungkin.

PENGHARGAAN

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Prestasi TH yang konsisten mencerminkan komitmen dan usaha berterusan Jemaah Lembaga Pengarah, Ahli-ahli Panel Pelaburan, pihak pengurusan dan seluruh anggota TH dalam memastikan penjanaan pulangan yang baik dan mampan.

Para pendeposit perlu sedar ‘hibah’ atau hadiah yang diberi oleh TH tidak boleh kekal dengan kadar meningkat kerana ianya bergantung kepada kemampuan kewangan dari semasa ke semasa.

Saya ingin memberi peringatan bahawa tahun 2016, akan lebih mencabar buat semua, tidak terkecuali TH kerana pelaburannya yang terhad kepada sektor patuh shariah.

Saya percaya TH mampu mengurangkan impak tersebut dan berusaha sebaik mungkin untuk mengukuhkan kedudukan agar terus memperolehi pendapatan yang mampan.

Apa yang paling penting, ingin saya tekankan sekali lagi kepada semua pendeposit bahawa duit mereka yang sedia ada di dalam akaun termasuk bonus yang bakal dikreditkan adalah selamat dan dijamin oleh Kerajaan.

Saya percaya kejayaan TH adalah kejayaan semua dan terima kasih saya ucapkan atas sokongan pihak kerajaan terutamanya YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya dan TH.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Jemaah Lembaga Pengarah TH, Ahli-ahli Panel Pelaburan TH, Pihak Pengurusan dan para anggota TH yang telah memberi komitmen yang tinggi dan konsisten selama ini.

Pihak TH dan Kerajaan Malaysia juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Pendeposit TH di atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada TH. Saya menyeru agar semua umat Islam di Malaysia untuk terus menyokong TH.

Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan Bonus Pendeposit TH 2015 di kaunter TH dan ATM bank-bank rakan strategik – Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamic, selewat-lewatnya pada Rabu, 10 Februari 2016 memandangkan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina pada minggu hadapan.

Akhir kata, ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat media yang sudi hadir, dan juga di atas kerjasama serta sokongan yang diberikan kepada TH selama ini.
Sekian,

Saya sudahi dengan Wabillahittaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top