Semurni Tadbir Sesuci Takdir Di Aidilfitri

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Laa Ilaaha Illallaah!

Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!

1 Syawal 1435H, Aidilfitri kembali bertamu. Mengukur syukur menyingkap rasa bertuhan di hari yang penuh kegirangan menyambut kemenangan. Kejayaan beroleh Ijazah takwa setelah sebulan menempuh peperiksaan Ramadan. Berjaya membersihkan diri kembali kepada fitrah seorang hamba yang bernama manusia dan bukanlah hanya menumpang riang gembira insan-insan soleh di akhir zaman ini sahaja. Hari ini kita umat Islam di Malaysia menyambut 1 Syawal 1435, moga-moga selama sebulan yang telah kita lalui melalui madrasah Ramadan telah berjaya menjadikan kita orang-orang yang benar-benar bertakwa.

Anas menceritakan: “Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda SAW bertanya: dua hari apakah ini? Jawab mereka: kami bersuka ria pada dua hari ini di zaman jahiliah. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda mafhumnya; “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Riwayat Abu Dawud).

Allah berfirman menerusi Surah Al-Syams ayat 7 hingga 10 mafhumnya, “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”

Setelah sebulan membaja iman tidak sewajarnya kita membenarkan saat menuai buah-buah takwa iaitu Syawal dicemarkan dengan aktiviti melalaikan (lagha) yang akhirnya menjadikan tarbiyah Ramadan kita tersia. Ya benar Junjungan Mulia Rasulullah SAW menganjurkan kita berhibur di Aidilfitri ini malah baginda sendiri pernah menegur Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq RA apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah RA  dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW: “Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” (Riwayat Al-Bukhari). Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira. Naumn, janganlah pula dengan hiburan yang menyangkal yang haq dan yang menganjurkan bathil, menghilangkan jati diri, kabur identiti dan masih gagal melepaskan diri dari hiburan keseronokan hawa nafsu semata atau sifatnya hedonisma.

Seafdalnya, 1 Syawal dimulakan dengan amalan-amalan sunat seperti mandi sunat hari raya dan menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan Solat Sunat Aidilfitri. Syawal juga lebih indah dengan memperbanyakkan takbir bermula ketika terlihatnya anak bulan Syawal pada malamnya dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid seperti yang dinukilkan oleh Imam Daruqutni bahawa “apabila Ibnu Umar RA keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat sunat hari raya”.

Telah menjadi tradisi amalan umat Islam di Malaysia iaitu mendoakan antara satu dengan yang lainnya pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin’. Tiada yang cacat atau celanya pada doa tersebut. Pun begitu, mungkin wajar untuk kita turut mengamalkan doa yang diamalkan di zaman Baginda SAW iaitu “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadan) kami dan kamu” sebagaimana disebut dalam sebuah riwayat Al-Baihaqi “Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada hari raya  dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka”.

Syawal itu diindahkan dengan alunan takbir membesarkan Allah yang Esa, dimurnikan dengan memohon dan memberi maaf dan seterusnya dimanfaatkan dengan amalan kunjung- mengunjung. Moga ‘benteng’ iman yang kita bina di sepanjang Ramadan yang lalu tidak kita robohkan dengan melakukan amalan yang biasa pada kita namun luar biasa dari sudut syariatnya.

Tatkala berziarah ke rumah jiran tetangga, sanak-saudara dan sahabat handai, kita amat dianjurkan untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain bagi menjernihkan hubungan yang keruh, tetapi tidaklah semestinya memohon kemaafan itu perlu dengan berjabat tangan antara satu sama lain lebih-lebih lagi apabila melibatkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Oleh yang demikian, batasan syariat hendaklah selalu dipelihara. Menurut Ummul Mukminin, Sayyidatina Aisyah RA. “Rasulullah shallallahu SAW tidaklah pernah menyentuh wanita sama sekali sebagaimana yang Allah perintahkan. Tangan beliau tidaklah pernah menyentuh tangan mereka.  Ketika baiat, beliau hanya membaiat melalui ucapan dengan berkata, “Aku telah membaiat kalian.” (Hadith Riwayat Muslim no. 1866).

Selain itu, kemeriahan Aidilfitri kebiasaannya menjadi medan fesyen. Apa yang menyedihkan ialah kebanyakan yang ada terutamanya wanita memilih  untuk mengenakan fesyen yang mereka sangka sudah menutup aurat tapi hakikatnya tidak. Contohnya, memakai pakaian yang ketat sehingga menonjolkan bentuk tubuh atau pakaian yang jarang yang menampakkan warna kulit walaupun memakai tudung.

Perihal kepentingan menutup aurat dengan betul ini telah dinyatakan Allah melalui firmanNya di dalam surah Al-Ahzab ayat 59: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ramadan mendidik kita untuk menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Jadikan Syawal cerminan keberkesanan latih-tubi di madrasah Ramadan. Jagalah silaturrahim dan gunakan masa yang ada untuk meneruskan amalan kunjung mengunjung di Hari Raya. Inilah masanya si kecil mengenal salasilah keluarga mereka. Usah dibiarkan program Televisyen menjadi juadah utama mereka di Hari Raya. Jangan pula kesibukan berhari raya  mengganggu rutin pengabdian pada Yang Esa. Aturlah masa sebaiknya.

Syawal 1435H kali ini memalit pelbagai rasa dari pelbagai situasi. Kemeriahan Aidilfitri di tanah air tidak dapat memadam pedih menyaksi dari kejauhan saudara seislam di bumi Gaza. Dipeluk kepiluan misteri belum terungkai MH370 bertimpa tragedi menyayat hati MH17. Menempa cekal berbekal tarbiah madrasah Ramadan, menyuntik semangat dalam mehnah qada’ dan qadarNya. Dalam sibuk berhari raya, bekalkan doa buat mereka dan berilah sumbangan wang ringgit untuk mengurangkan penderitaan mereka. Jadilah insan yang tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya prihatin dan cakna terhadap nasib orang lain. Pesan Baginda SAW mafumnya “Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka (umat Islam)”. Moga Aidilfitri ini mengukir semurni takbir, bagi menagih sesuci takdir. Salam fitrah Aidilfitri dari kami di IKIMfm: Pilihan Utama Anda.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 28 Julai 2014
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top