Selepas Menang Anugerah Nasyid IKIMfm, Daqmie anjur Konsert Cinta Rasul Percuma

Penyanyi lagu berentak ketuhanan, Daqmie atau nama sebenar beliau Azmee Abdul Manap merupakan seorang Komposer, Penerbit dan Penyusun Muzik bakal muncul dengan konsert mini yang bertajuk “Konsert Daqmie Cinta Rasul S.A.W 1436H” yang akan berlangsung pada 24 Januari 2015, di Laman Seni , Seksyen 7 Shah Alam, bermula pada pukul 8 malam .

picBeliau bukanlah asing dalam industri muzik nasyid tempatan, kerjaya seni beliau bermula dengan menganggotai kumpulan East pada tahun 1989 dan sempat merakam 2 buah album seterusnya bersama kumpulan Barongan dengan sebuah album.

Daqmie yang ditemui Wartawan IKIMfm pada majlis sidang media Konsert berkenaan dan majlis kesyukuran kerana baharu sahaja dinobatkan sebagai juara Anugerah carta Nasyid IKIMfm baru-baru ini menyatakan konsert berkenaan dianjurkan khusus untuk menghargai para peminatnya yang telah memberi sokongan terhadap kerjaya beliau selama ini.

“Saya adakan konsert ini secara percuma buat mereka yang menerima lagu dan muzik saya, dan saya anggap ini juga satu platform untuk kami bertemu antara satu sama lain” katanya dengan nada gembira.

Selain menyatakan perasaan gembira dan bersyukur dengan kemenangan yang raih itu, beliau juga berkata rezekinya dilihat semakin murah kerana dilantik sebagai Duta Creative Dakwah Centre (CTC) dan memudahkan lagi untuk beliau terlibat dalam kerja-kerja kebajikan.

Selain itu menurut Daqmie, konsert yang sememangnya diadakan sempena Maulidur Rasul 1436H ini merupakan salah satu ruang yang baik untuk menerapkan nilai-nilai murni terhadap anak muda sekaligus meningkatkan rasa cinta yang mendalam terhadap Rasullullah S.A.W .

“Konsert ini juga agak unik dengan menampilkan dua tokoh iaitu Dr Mir Hazil Azran Ramli iaitu Pengkaji Bulan Islam & Kalendar Hijrah dan Datuk Dr Ibrahim Hj Ghaffar, yang mana Dr Mir Hazil Azran Ramli akan menghuraikan dan mengaitkan bait-bait lirik yang dinyanyikan oleh saya dengan kisah Nabi Muhammad SAW. Datuk Dr Ibrahim Hj Ghaffar  pula akan menyerikan konsert ini dengan puisi indah beliau’. Kata Daqmie menutup perbualan.

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top