Selangor Cadang Pinda Had Umur Minimum Perkahwinan

SHAH ALAM, 1 Ogos – Selangor bercadang meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 berkenaan had umur minimum perkahwinan bagi wanita Islam di negeri itu, iaitu daripada 16 tahun dinaikkan kepada 18 tahun.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi cadangan pindaan itu susulan isu perkahwinan kanak-kanak yang semakin berleluasa, termasuk membabitkan perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun di Selatan Thailand baru-baru ini.

Beliau berkata MAIS dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengadakan perbincangan mendalam bagi menangani masalah itu pada 19 dan 20 Julai lepas dengan melibatkan pakar-pakar daripada pelbagai jabatan atau agensi kerajaan khususnya pakar perubatan, universiti dan badan bukan kerajaan (NGO).

​​​​​​​Jelas  Datuk Mohammed Khusrin lagi cadangan pindaan kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 itu akan dibawa kepada sidang Dewan Negeri Selangor secepat mungkin.

Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top