Ribuan Sertai Perhimpunan Solidariti Kedamaian

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ribuan peserta menghadiri Perhimpunan Solidariti Kedamaian yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seawal  pada pukul  6.40 pagi, peserta yang berpakaian putih mula berkumpul di pekarangan kompleks beli-belah Sogo sebelum memulakan perarakan.

Perarakan yang bermula  pukul 7.45 pagi diketuai barisan pemimpin antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Turut serta Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Perhimpunan  itu juga  disertai lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan agama seperti Islam, Sikh, Tao, Buddha, Kristian dan Hindu.

Dalam pada itu mengulas tentang perhimpunan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata orang ramai sepatutnya melihat mesej yang cuba disampaikan pada Himpunan tersebut dan bukannya menilai pada jumlah atau ‘nombor’ peserta yang hadir.

Tambah beliau walaupun ramai yang menganggap himpunan tersebut tidak mendapat sambutan, namun beliau tetap berpuas hati dengan kehadiran peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top