Raja Salman, Putera Mohammed Hubungi Anak Khashoggi Ucap Takziah

KAHERAH, 21 Oktober – Raja Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman menghubungi anak lelaki wartawan Jamal Khashoggi yang dibunuh, Salah untuk menyampaikan ucapan takziah mereka, kata Agensi Akhbar Arab Saudi semalam.

Terdahulu, Arab Saudi mengakui bahawa Khashoggi, seorang wartawan yang sering mengkritik pemerintah Arab Saudi, terbunuh selepas berlaku pergaduhan di dalam konsulat Istanbul, dua minggu selepas menafikan sebarang kaitan dengan kehilangannya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Menteri Luar Adel al-Jubeir berkata, kerajaan Arab Saudi tidak mengetahui lokasi jasad wartawan dibunuh, Jamal Khashoggi, semalam, walaupun negara itu ‘mengakui pembunuhan’ terbabit dengan menyifatkannya sebagai ‘kesilapan besar’.

Bercakap dalam temu bual dengan Fox News, Jubeir berkata, pada mulanya, kepimpinan Arab Saudi percaya Khashoggi sudah keluar dari konsulatnya di Istanbul di mana lokasi beliau dilihat kali terakhir, 2 Oktober lalu.

Sumber AFP

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top