Program Ceramah Bahasa Inggeris anjuran IKIM dapat Sambutan Hebat

KUALA LUMPUR, 1 Disember – Program Pengajian Sirah Nabi Muhammad SAW bertajuk Prophet Muhammad SAW – The Master Of Love pada Sabtu dan Ahad lalu mendapat sambutan di luar jangkaan.

Malah penganjuran program agama yang menampilkan seorang tokoh Ulama terkemuka dari United Kingdom, Sheikh Mohammed Aslam itu mendapat pujian di kalangan pencinta ilmu yang tidak mahu melepaskan peluang untuk mendengar ceramah beliau secara lebih dekat.

Program ceramah keagamaan dalam Bahasa Inggeris adalah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang turut dihadiri peserta dari negara jiran termasuk Singapura.

Pengarah Pusat media IKIM, Dr. Nik Roskiman Abdul Samad berkata program- program seumpama itu merupakan platform penting kepada umat Islam agar mereka sentiasa diberi kefahaman dan peluang untuk mendengar ceramah agama secara langsung oleh tokoh-tokoh ulama terkemuka luar negara.

“Pada masa akan datang kita akan meneruskan penganjuran program ilmu sebegini supaya masyarakat Islam di negara ini dapat berkongsi wadah ilmu dan pandangan bukan sahaja daripada ulama di dalam tanah air tetapi juga daripada tokoh ulama luar negara” katanya ketika ditemui selepas majlis ceramah berkenaan.

Sheikh Mohammed Aslam seorang Hafiz al-Quran yang memulakan pendidikan di Duddeston High School GCSE’s. Kemudian beliau menyambung pengajiannya di University Of Damascus dalam bidang pengajian Bahasa Arab.

Beliau turut melanjutkan pengajian dalam bidang agama di United Kingdom, dan dalam masa yang sama Syaikh Aslam turut berkhidmat sebagai Imam dan Khatib di salah sebuah masjid terbesar di Birmingham, UK.

Di United Kingdom, Syeikh Aslam menubuhkan Akademi Pendidikan yang berfungsi sebagai pusat sumber ilmu dan badan penasihat kepada pelbagai projek komuniti di sekitar bandar berkenaan.

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top