Penawar Bagi Hati

ILMU tasawuf bukan merupakan ilmu baru tetapi ia telah ada sejak zaman Nabi Muhammad SAW serta para sahabat dan ia berterusan sehingga mereka menjadi golongan yang sangat beramal dengan ilmu ini. Dengan mempelajari ilmu tasawuf akan menyebabkan manusia mengetahui segala kelakuan hati berbanding kelakuan zahir yang mampu dilihat melalui mata kasar. Kelakuan hati yang baik mempunyai sifat merendah diri iaitu tawaduk yang mendorong manusia berasa hina terhadap Allah SWT. Selain itu ia juga mendidik manusia menjadi insan yang sentiasa bersabar yang bukan hanya mampu menahan tetapi dapat mengikat nafsu yang memerlukan mujahadah.

Melalui perkongsian bersama Ustaz Mohd Hafiz Mansor yang ke udara di IKIMfm yang pada hari Isnin jam 9 malam, mengupas Kitab ‘Penawar Bagi Hati’ karangan Syeikh Abdul Qader bin Abdul Muthalib al-Indonesi al-Mandili rahimuhullah, beliau menghuraikan perbuatan mengikat nafsu di kalangan manusia adalah sesuatu perlakuan yang tidak dapat dilihat. Malah dengan mempelajari ilmu tasawuf, manusia dapat mengenali kelakuan hati yang tercela sifatnya serta dimurkai oleh Allah, dan di antaranya ialah sifat dengki dan takbur. Sifat-sifat ini hanya ada kepada Allah SWT yang tidak boleh ada di dalam diri manusia dan sekiranya ada ia akan membawa kepada kecelaan kepada hati.

Hati manusia sifatnya seringkali berbolak balik sehinggakan Rasulullah SAW berpesan supaya manusia sentiasa berdoa dan memohon bantuan Allah agar hati ini sentiasa terdorong untuk mencari redha-Nya dan melakukan kebaikan. Sesungguhnya secara realiti dapat dilihat ada di kalangan manusia yang menjalani kehidupan di dalam keadaan beriman pada waktu siangnya, tetapi kembali kufur di sebelah malamnya atau sebaliknya. Semua ini berkaitan dengan soal hati yang berbolak-balik di antara hidayah dan kekufuran.

Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW untuk mengajar manusia tentang tanda-tanda kebesaran Allah serta menyucikan hati-hati dengan wahyu yang diturunkan-Nya. Sebelum datangnya Baginda kepada umat manusia, mereka hidup di dalam keadaan jahiliyah, hati mereka tidak ada akidah dan syariat yang betul. Oleh Rasulullah SAW diutuskan untuk membersihkan syariat, akidah dan hati-hati mereka dengan akhlak yang terpuji. Imam Junid al-Baghdadi mengatakan ilmu tasawuf itu ialah ilmu untuk manusia mengambil setiap sifat yang mulia dan meninggalkan sifat-sifat yang tercela. Manakala Imam al-Syibli pula mengatakan ilmu tasawuf ialah ilmu untuk mengabdikan diri kepada Allah tanpa keluh kesah, apa sahaja ujian yang Allah datangkan, diterima dengan redha dan sabar.

Syeikh Abdul Qader menyebut faedah mendalami ilmu tasawuf akan mengosongkan hati manusia daripada perkara selain daripada Allah dan menghiasi hati dengan memandang kepada Tuhan sekalian alam. Walau bagaimanapun ia tidak bererti dunia terus ditinggalkan, tetapi dunia sebagai tempat untuk menuai hasil menuju akhirat, kepentingan dunia hanya ditangan dan bukan diletakkan di dalam hati. Yakin bahawa Allah SWT sentiasa melihat kita merupakan ihsan dalam ibadah malah orang yang memandang kepada Tuhan sekalian alam apabila melihat semua ciptaan akan dapat melihat kebesaran Allah SWT. Namun apabila dunia sudah mula bertapak di dalam hati, maka ia menandakan manusia itu sudah mula menuju kehancuran kerana ia akan membawa mereka kepada hawa nafsu yang akhirkan mendatangkan kecelaan kepada amal ibadah yang mereka lakukan.

Hukum mempelajari ilmu tasawuf adalah fardhu ain kerana jika ilmu ini tidak didalami, maka apabila hati menjadi kotor ia akan menjadi penghalang kepada ganjaran pahala di atas amalan-amalan yang dilakukan. Harus diingat di dalam melakukan amal ibadah, terdapat perkara-perkara yang menjadi penghalang kepada pahala, malah paling malang apabila di dalam beribadah tersirat perkara tercela yang dimurkai Allah. Perkara ini akan berlaku sekiranya ibadah bercampur dengan perasaan riak dan sifat menunjuk-nunjuk.

Kehidupan Rasulullah SAW itu sendiri mempunyai akhlak al-Quran, zahir Baginda merupakan contoh terbaik dan sentiasa mengingati Allah SWT. Dengan kemuliaan sifat yang ada pada dirinya, Baginda menunjukkan pada umatnya bahawa perlunya melakukan amal ibadah untuk mengelakkan kelalaian kepada hati daripada sentiasa mengingati Allah yang juga merupakan maksiat.

Untuk mendidik hati agar menjadi sabar dengan segala ujian, seharusnya manusia perlu meletakkan diri sebagai seorang hamba Allah, seterusnya beriman dengan qada’ dan qadar kerana manusia harus menyedari bahawa segala ketentuan itu datangnya daripada Allah SWT, walaupun pada hakikatnya tidak ada seorang manusia pun yang mahu sesuatu yang buruk berlaku ke atas dirinya. Maka hati di pujuk dengan membaca al-Quran dan menyedari bahawa ujian itu datang untuk meningkatkan keimanan dan meninggikan darjat manusia di sisi Allah SWT. Jangan hanya melihat ujian pada diri semata-mata tetapi perlu dilihat ada insan lain yang lebih hebat ujian pada diri mereka dan secara tidak langsung ia akan menimbulkan rasa keinsafan dan bersyukur kepada Allah.

Mendalami ilmu tasawuf juga merupakan mukadimah kepada manusia untuk melalui proses-proses syariat dan di antaranya mengetahui apakah yang haram dan halal dilihat oleh mata. Daripada ilmu syariat itulah datangnya ilmu batin kepada ilmu hati, sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdul Qader, sebelum sampai kepada proses membersihkan hati, terlebih dahulu ilmu tasawuf itu mengajar manusia untuk membersihkan anggota zahir mereka. Perlu diketahui apakah yang boleh dilakukan atau haram bagi setiap anggota manusia yang merupakan perkara asas di dalam syariat. Perkara zahir inilah yang akhirnya akan membentuk hati manusia agar sentiasa tenang dengan melakukan dan mendengar perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Julai 2017
\"\"
Scroll to Top