PM arah langkah pencegahan demam denggi, Zika

KUALA LUMPUR, 2 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya mengambil semua langkah pencegahan bagi melindungi rakyat daripada demam denggi dan virus Zika.

Beliau mahu semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan rakyat keseluruhannya berganding bahu memerangi nyamuk Aedes, yang juga ejen penyebaran kedua-dua penyakit berkenaan.

“Saya sedia maklum mengenai masalah demam denggi di beberapa kawasan dalam negara, dan juga kerisauan mengenai virus Zika yang melanda banyak kawasan di rantau Amerika,” katanya dalam entri terkini blog beliau, NajibRazak.com.

Najib berkata, pemantauan lebih teliti amat diperlukan memandangkan iklim negara ini sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes.

“Pucuk pangkalnya, kita perlu mencegah serta menghapuskan sumber atau vektor kepada kedua-dua wabak dan virus ini, iaitu nyamuk Aedes. Jangan beri walau sedikit ruang untuk ia membiak,” katanya.

Susulan penularan virus Zika, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan virus itu sebagai kejadian kecemasan kesihatan awam yang menjadi kepentingan antarabangsa (PHEIC).

Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top