Perginya Seorang Raja Berjiwa Rakyat

sultan-perak

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30, pada Rabu. Jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok. Pengumuman kemangkatan baginda dilakukan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

Penghormatan terakhir  bagi pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi esok manakala oleh orang ramai bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2  petang hingga 3 petang.

Datuk Seri Dr. Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai rabu, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari. Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia. Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.

Memetik ruangan BELANGSUNGKAWA Berita Harian, Almarhum Sultan Azlan Shah dikenali sebagai Sultan berjiwa rakyat, kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah meninggalkan kesan mendalam dalam setiap hati rakyat negara ini khususnya rakyat Perak.

Negara umpama kehilangan mutiara berharga kerana baginda banyak menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara, khusus dalam bidang perundangan, pendidikan dan sukan. Ketika hayat Baginda, Almarhum amat dikasihi, dihormati dan disanjung rakyat di bawah naungannya terutama di Perak dan ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong. Baginda sangat dikasihi rakyat kerana ketokohan, kebijaksanaan, ketulusan hati dan sifat dedikasi sepanjang memerintah Perak.

Menyusur sejarah hidup baginda, Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Sultan Perak, susulan kemangkatan Sultan Idris Shah II pada 3 Februari 1984. Baginda yang ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Perak ke-34 pada 9 Disember 1985, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, memakai gelaran Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Pelantikan dibuat Dewan Negara Perak yang bersetuju melantik baginda yang ketika itu bergelar Raja Muda, Raja Azlan Shah Yussuf Izzuddin Shah. Yang di-Pertuan Agong ke-9 Pada 1984, Sultan Azlan Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Baginda kemudian ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-9 pada 1989 untuk tempoh lima tahun berakhir pada April 1994.

Sepanjang pemerintahan baginda, Sultan Azlan Shah sangat dikagumi dan dihormati Raja-Raja Melayu dan pemimpin dalam serta luar negara kerana ketokohannya terutama dalam bidang perundangan. Almarhum yang diputerakan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan Inggeris di Batu Gajah, sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Seluruh warga kerja IKIMfm dan Pusat Media IKIM merafak sembah takziah buat kerabat Almarhum atas pemergian Baginda. Kami berdoa moga-moga roh Baginda ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah.

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top