Pengiktirafan UEC Perlu Ambil Kira Sensitiviti Semua Kaum

KUALA LUMPUR, 4 Januari – Cadangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu mengambil kira sensitiviti semua kaum dan bukan hanya kelompok tertentu sahaja.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sentiasa peka dan sensitif terhadap semua kaum dalam negara untuk memastikan rakyat terus memberikan sokongan.

Bercakap kepada pihak media  selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di  ibu negara  beliau turut  berkata laporan media terhadap kenyataan beliau  berhubung UEC sebelum ini tidak tepat dan tidak seperti apa yang dikatakan beliau. 

Dalam perkembangan berasingan  Perdana Menteri, berkata beliau tidak menerima sebarang makluman atau surat rasmi mengenai dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, akan melepaskan jawatan.

Tun Dr Mahathir memberitahu perkara itu  bagi mengulas mengenai dakwaan kononnya Majlis Raja-Raja telah mengadakan mesyuarat khas baru-baru ini di sebalik spekulasi mengenai kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ditanya sama ada mesyuarat itu diadakan, jelas Perdana Menteri beliau tidak sedar mengenai perkara itu dan hanya mendengar khabar angin sama seperti orang awam.

Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top