Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 20 September – Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia dan bekas mufti Negeri Terengganu Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir diumumkan  sebagai penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan 1440H / 2018M.

Beliau menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, trofi dan sijil penghargaan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada majlis sambutan Ma’al Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan 1440H / 2018M di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Turut menerima anugerah adalah Prof Datuk  Dr Wan Azman Wan Ahmad (Anugerah Khas Ilmuan), Prof Dr Taufiq Yap Yun Yin (Anugerah Khas Pendakwah), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (Anugerah Khas Koporat) dan Abdul Ahad Abu Bakar ( Anugerah Khas Imam).

Keempat-empat tokoh itu  menerima wang tunai berjumlah RM3,000, trofi serta sijil penghargaan.

Sementara itu, ketika dihubungi pemberita IKIMfm, Prof Dr Taufiq Yap Yun Yin yang merupakan Pensyarah Jabatan Kimia Universiti Putra Malaysia (UPM) menzahirkan kesyukuran dengan anugerah tersebut sambil menambah akan tetap istiqamah dalam menyebarkan mesej Islam ke segenap lapisan masyarakat.

Selain itu, ujar beliau sebagai seorang pendakwah mereka perlu mengambil berat tentang perkara-perkara yang menjadi asas dalam memastikan keberkesanan usaha dakwah yang dilakukan.

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.