Penetapan Hukum, Fatwa Perlu Timbang Realiti Masyarakat

PUTRAJAYA, 13 September – Penentuan sesuatu hukum atau fatwa di negara ini perlu mengambil kira realiti masyarakat Malaysia bagi memastikan objektifnya tercapai.

Ketika merasmikan seminar Fiqh Al-Waqi’ (Fiqh Realiti) di Malaysia di Kompleks Islam Putrajaya (KIP), Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah berfatwa atau mengeluarkan hukum adalah proses sukar yang memerlukan kemahiran serta pemikiran mendalam bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah penyelesaian terbaik, mengikut kehendak al-Quran dan sunah, praktikal serta sesuai diamalkan.

Hadir sama  pada majlis berkenaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Sementara itu, Datuk Dr Mujahid dalam ucapan beliau berkata Malaysia berhadapan kekurangan ilmuwan agama yang mampu mendalami ‘Fiqh Waqi’ bagi  menetapkan sesuatu hukum atau fatwa.

Ujar beliau lagi walaupun terdapat ramai lepasan agama yang mampu mengeluarkan nas-nas daripada sumber klasik selain berupaya menghafaz al-Quran dan hadis dengan baik, tidak ramai yang memahami Fiqh Waqi’ atau realiti semasa di negara ini secara mendalam.

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.