Paywave tak boleh diklon

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Kad berteraskan teknologi transaksi tanpa sentuh, Paywave, tidak boleh dipalsukan kerana dilengkapi ciri keselamatan yang diperakui industri perbankan antarabangsa.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, menolak dakwaan yang tersebar luas di laman sosial, kononnya kad menggunakan ciri Paywave mudah diklon, manakala maklumatnya dijual pihak ketiga.
Katanya, industri perbankan antarabangsa sudah menjangkakan segala kemungkinan seperti kecurian data dan memalsukan kad berkenaan, justeru dilengkapi dengan ciri keselamatan menggunakan teknologi terkini.
“Pemegang kad juga mempunyai pilihan untuk mengehadkan jumlah transaksi, contohnya maksimum dua kali sehari dan nilai tidak melebihi RM500 bagi mengelak risiko kecurian.
“Jika hilang, pemegang kad hanya perlu memaklumkan kepada bank berkaitan dan kad itu akan dibatalkan serta-merta manakala penggunaannya akan dijejaki,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) di Dewan Rakyat, hari ini.
Noraini meminta pengesahan kerajaan mengenai dakwaan kad Paywave yang mula digunakan secara meluas ketika ini mudah dipalsukan, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Menjawab soalan asal Noraini mengenai kepentingan melaksanakan perubahan sistem transaksi tanpa tunai, Othman berkata, langkah itu bagi mengelakkan pelbagai jenayah termasuk penyelewengan pihak ketiga.
“Kita tidak perlu bagi kepada juruwang seperti sebelum ini, sebaliknya perlu melayangkan kad Paywave ketika berada di kaunter untuk membuat pembayaran.
“Kaedah ini mengurangkan risiko kecurian maklumat apabila petugas di kaunter mempunyai peluang untuk memegang kad, sekali gus mewujudkan kemungkinan data kad ini disalahgunakan,” katanya.
Fakta nombor
– 10 juta transaksi guna Paywave pada 2016
– 2.8 juta transaksi guna Paywave pada 2015

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top