Pasukan Khas Siasat Kebocoran Maklumat Kes Kebakaran Pusat Tahfiz – KPN

KUALA LUMPUR, 18 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kebocoran maklumat dan perincian penyiasatan kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini pada Khamis lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis memandang serius perkara itu selepas fakta kes dan maklumat sulit tentang penahanan suspek serta beberapa gambar suspek menjadi tular di media sosial.
“Saya akan arahkan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Amar Singh Ishar Singh) untuk menubuhkan ‘task force’ (pasukan khas) untuk meneruskan siasatan berhubung isu kebocoran (maklumat) siasatan kes ini di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan (penyebaran maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Mana-mana individu, pegawai atau anggota PDRM yang terlibat membocorkan maklumat, kami akan ambil tindakan, ia tidak boleh dibiarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meraikan atlet-atlet Sukan SEA 2017 dan Sukan Polis dan Bomba Sedunia di Bukit Aman, di sini Isninin.
PDRM semalam dilapor telah mengambil keterangan daripada 13 anggotanya bagi membantu siasatan berhubung kebocoran maklumat sulit kes berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :
Scroll to top