Opick Kembali ke Malaysia Dengan Konsert Akustik

Kuala Lumpur, 17 April – Penyanyi Indonesia, Opick akan mengadakan sebuah persembahan yang dinamakan Konsert Religi Terhebat, Opick Live Acoustic (O.L.A.C) pada 18 April 2015. Konsert kali kelima penyanyi ketuhanan tersohor itu akan diiringi barisan 14 orang pemuzik yang bernaung di bawah pengurusan Opick sendiri iaitu Tombo Hati Band.

Memilih Auditorium MBSA Shah Alam, Selangor sebagai lokasi, konsert kali ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ianya dipersembahkan secara akustik dengan iringan para pemuzik yang ramai.

Pada majlis pelancaran album Digital Video Disc (DVD) terbaru iaitu ‘THE BEST OF OPICK LIVE ACOUSTIC’ di Hotel Grand Blue Wave Shah Alam, kata Opick beliau akan menyampaikan 15 hingga 20 buah lagu, yang kebanyakan lagu-lagu tersebut terdapat dalam album terbaru yang dilancarkan.


 

“Saya berterima kasih kepada semua peminat di Malaysia kerana telah menerima diri dan muzik saya dengan begitu baik. Saya berjanji akan memberi persembahan terbaik pada konsert Akustik pada sabtu ini”.

Sementara itu persembahan pentas tersebut turut menampilkan artis tempatan seperti Lah Ahmad dan Daqmie yang bakal mempersembahkan kekuatan vokal masing-masing.

Lah Ahmad akan membuat persembahan ‘pembuka tirai’ manakala Daqmie akan mempersembahkan beberapa lagu popular beliau termasuk akan berduet dengan Opick.

Sementara itu Album Digital Video Disc (DVD) terbaru iaitu ‘THE BEST OF OPICK LIVE ACOUSTIC’ yang diedarkan oleh Inteam Records Sdn. Bhd telahpun mula berada di pasaran

Album yang dirakam dalam studio Indonesia merupakan persembahan Opick secara langsung bersama barisan pemuzik seramai 14 orang.

Opick merupakan artis kelahiran Indonesia popular dengan lagu Dealova, Rapuh, Salam Ya Rosulullah dan pelbagai lagi lagu-lagu yang sering dimainkan dalam drama-drama televisyen dan corong-corong radio di Malaysia.

 opick

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top