PM Najib Ajak Umat Islam Manfaat Ramadan Sebaik-baiknya

Najib-Razak1

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak semua umat Islam supaya memanfaatkan bulan Ramadan dengan amalan yang baik di samping menghentikan semua persengketaan sesama sendiri.

Beliau berkata Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan umat Islam seharusnya berusaha memperbaiki diri dan menghentikan segala perbalahan. “Kurangkan melakukan kerja yang tidak mendatangkan manfaat dan hentikan perbuatan memburuk-burukkan orang lain.

“Jadi sekiranya kita semua dapat bersama-sama menggunakan bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan ibadat tanpa membangkitkan perkara-perkara yang mengundang perselisihan, nescaya kita akan dapat menikmati keindahan bulan Ramadan ini sepenuhnya,” katanya dalam ucapan audio yang dimuat naik di laman Twitter beliau, hari ini.

Mengimbas kembali dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar minggu lepas, Najib berkata walaupun persaingan sengit dan perselisihan telah berlaku antara parti-parti yang bertanding, namun pilihan raya kecil itu telah selesai.

Justeru, katanya, semua pihak harus kembali bermaaf-maafan, mengetepikan perbezaan dan meningkatkan amalan dalam bulan Ramadan yang mulia ini.  Najib juga mengajak umat Islam melakukan ibadat dan solat tarawih bersama-sama dengan keluarga dan sahabat handai.

“Sungguh tenang rasanya,” katanya sambil melahirkan rasa syukur dapat meluangkan masa beramah mesra bersama ibu, isteri, anak-anak serta saudara mara selepas menunaikan solat tarawih.
Oleh itu, katanya: “Sekiranya kita semua dapat bersama-sama menggunakan bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan ibadat tanpa membangkitkan perkara-perkara yang mengundang perselisihan, nescaya kita akan dapat menikmati keindahan bulan Ramadan ini sepenuhnya.”

Sumber – BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my