Merenung Kehidupan

KEHIDUPAN merupakan anugerah Tuhan Yang Maha Esa,iaitu ALLAH S.W.T. yang tidak ternilai harganya. Alangkah hebatnya mereka yang meluangkan masa walaupun untuk seketika untuk merenung  dan berfikir tentang kejadian dirinya dan ala mini. Pendengar IKIMfm kebiasaannya setiap Isnin jam 10.15 pagi rancangan Pesona D’Zahra akan diisi oleh Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin namum memandangkan beliau kini berada di Palestin, ia diisi oleh tetamu istimewa yang diundang  iaitu Profesor Dr. Muhaya Mohamed dengan tajuk Merenung Kehidupan.

Menjalani kehidupan di dunia ini, ada ketikanya dalam jangka waktu umur kita yang berbeza-beza iaitu ada yang muda dan ada pula yang hampir lanjut usia, pernahkah kita merenung persoalan seperti  “Apakah tujuan hidup?” dan “Mengapa kita di sini?”

Terdapat pelbagai jawapan bagi mereka yang memikirkan persoalan-persoalan kehidupan. Ada yang berpendapat bahawa tujuan hidup adalah untuk memperoleh kekayaan. Meletakkan tujuan hidup untuk mengumpul harta, wang, kuasa dan kedudukan.

Namun, jika tujuan hidup adalah untuk menjadi kaya dan berkuasa, apakah pula tujuan kehidupan sekiranya setelah mencapai kedua-duanya? Kita pernah mendengar jutawan atau mereka yang berkedudukan mengakhiri hidup dengan membunuh diri. Jadi adakah benar mengatakan bahawasanya kejayaan dan tujuan hidup adalah untuk mendapat kekayaan dan kuasa?

Justeru, ini membuktikan bahawa wang, harta dan kedudukan semata-mata bukanlah tujuan utama kehidupan seseorang mencapai bahagia dan berjaya. Kehidupan di bumi ini sebenarnya adalah suatu masa yang singkat. Islam mengajar bahawa kehidupan ini hanyalah tempat ujian atau percubaan untuk seseorang menunjukkan sifat sebenar dalam tindak-tanduk harian terhadap dirinya dan makhluk lain. Firman Allah SWT di dalam Al Quran, Tuhan yang menciptakan mati dan hidup, karena hendak menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya”  (QS. Al-Mulk: 2). Islam juga mendidik manusia untuk berlaku jujur dan berakhlaq sebagaimana yang dipandukan menerusi ajaran yang diturunkan dan disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW didalam Al Quran.

Bermula dengan niat, sikap dan perbuatan-perbuatan yang baik atau buruk sepanjang kehidupan seseorang itu, semua itu kemudiannya akan diadili dan ditimbang oleh Yang Maha Adil lagi maha Mengetahui iaitu Allah SWT di hari pembalasan. Akhirnya, setiap seorang mahkluk itu akan menerima pembalasan sesuai dengan perbuatan yang dilakukan ketika hidup di dunia. Ia boleh menjadi mudah untuk orang-orang yang ikhlas menuruti ajaran Islam dan mengazabkan  bagi orang yang menurut hawa nafsu dan bisiskan syaitan.

Berbalik kepada persoalan merenung kehidupan ini, banyak hikmah yang akan didapati seseorang yang merenung akan tujuan hidup. Merenungi kehidupan yang telah lalu dan akan datang akan membuatkan kita menilai apakah kita telah benar-benar menyembah Allah SWT dan ianya sebagai matlamat utama dalam hidup. (Surah Az-Dzariyat, ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

Orang yang berfikir dan beriman akan mengatur seluruh hidupnya sesuai dengan tuntutan Allah SWT didalam Al Qur’an dan berjuang untuk melaksanakan setiap hari apa yang telah dipelajari dari ayat-ayat Al Qur’an. Seseorang yang melaksanakan ajaran Al Qur’an dan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW yakin akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat dan memperoleh kesihatan jasmani dan rohani.

Dalam kehidupan ini juga dengan merenung sejenak segala yang dikecapi akan membuatkan kita mensyukuri banyaknya rezeki dan nikmat kita terima dari Allah SWT. Bersyukur pula akan menjadikan seseorang itu menzahirkannya dalam bentuk ketaatan kepada Allah dan menggunakan  nikmat tersebut dengan beribadah dan taat menjalankan ajaran agama.

Orang yang bersyukur dan yakin dengan rahmat Allah, dan memahami akan konsep kehidupan sebagai tempat diuji kemudian tidak akan lupa bahawa setiap yang berlaku dari takdir yang Allah telah ditetapkan atasnya dan akan menjalani hidupnya dengan ikhtiar dan berserah diri pada-Nya. Manusia yang beriman seperti ini akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang.

Islam menggalakkan agar kita sering merenung atau bertafakkur berhubung dengan halatuju kita selepas ini. Lantaran itulah orang yang pandai digelar orang yang “bijaksana” bagi membawa maksud orang yang bijak “sehingga melangkaui dunia sana”, dan bukan sekadar orang yang bijak dunia sini sahaja. Dalam satu hadith, mafhumnya disebutkan bagaimana Nabi SAW bersabda “Orang yang bijak ialah orang yang mampu mengendalikan dirinya dan beramal (bersiap) bagi menghadapi apa yang datang selepas kematiannya”

Begitulah antara yang hikmah yang akan diperolehi seseorang yang suka merenung kehidupan dan muhasabah tujuan hidupnya. Tanpa renungan kita akan melakukan hal yang sama terus-menerus tanpa melihat akan apakah usaha dan perbuatan kita selama ini memberi kebaikan dan manfaat kepada diri dan orang lain.

Renungilah dalam diri dan sedari hakikat bahawa kita akhirnya akan mati. kenangkan masa lampau yang telah kita lalui. Apakah ia mampu membawa kita terpilih untuk memasuki syurga sekalipun dengan rahmat Allah?

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Mei 2015
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top