Malaysia Bangunkan Dasar Sekuriti Makanan Jamin Keselamatan Makanan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Pembangunan sektor pertanian perlu diberi perhatian serius dalam membangunkan Dasar Sekuriti Makanan bagi menjamin keselamatan bekalan makanan di negara ini.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datin Dr Azizan Baharuddin berkata berdasarkan pencapaian Malaysia dalam membangunkan industri makanan halal dunia, negara diyakini mampu memperkukuh aspek sekuriti makanan, sekali gus menjamin kestabilan ekonomi dan kepentingan rakyat.

“Malaysia dilihat berjaya dalam fokus hab makanan halal dan sudah tiba masa kita memberi tumpuan kepada konteks lain dengan perlunya meningkatkan sektor pertanian (tanam dan ternak) berpandukan faktor situasi semasa iaitu perubahan cuaca dan masalah pertambahan populasi penduduk dunia,” katanya.

Datin Dr Azizan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sekuriti Makanan ‘Isu-Isu Kontemporari Menurut Perspektif Islam,’ anjuran IKIM di Dewan Besar IKIM di sini, hari ini.

Katanya Malaysia juga merupakan salah satu negara mengalami jaminan bekalan makanan negara yang semakin berkurangan tahun demi tahun.

“Namun, situasi sekuriti makanan di negara kita tidak terlalu genting berbanding negara seperti di Afrika. Kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menunjukkan satu dari setiap sembilan orang mengalami kebuluran setiap hari seperti di Afrika dan kira-kira 795 juta manusia berada dalam kelaparan di seluruh dunia hari ini,” katanya.

Beliau berkata perhatian dan usaha perlu dilipat gandakan untuk memajukan sektor pertanian dan industri asas tani bagi membolehkan sektor itu menyumbang ke arah memastikan jaminan bekalan makanan yang mencukupi dalam negara.

“Kita harus membuat pilihan dari sekarang, dengan kerajaan menerusi kementerian berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberi tumpuan lebih kepada usaha ‘tanam dan ternak’ bagi menampung bekalan makanan dan menangani isu kenaikan harga barang termasuk makanan,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Datin Dr Azizan berkata agensi kerajaan, usahawan tani dan petani persendirian boleh memainkan peranan dalam memastikan bekalan makanan di negara ini mencukupi dan berkualiti.

“Dalam memastikan negara mempunyai jaminan bekalan makanan mencukupi dan stabil, perancangan yang baik dan strategi amat diperlukan. Tanggungjawab ini bukan hanya terletak kepada satu pihak tetapi ia memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak dan tidak boleh dipandang remeh terutama dalam sektor pertanian,” katanya.

Seminar dua hari bermula hari ini, itu menekankan isu-isu sekuriti makanan negara dan penyelesaiannya menurut perspektif Islam, penyelidikan dan inovasi halal dalam mengatasi isu sekuriti makanan selain kesan perkembangan teknologi terhadap sekuriti makanan.

Sumber BERNAMA

12096256_1185373264812790_3019270243849214452_n

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my