Keutamaan Mengingati Mati

DI DALAM Islam di antara amalan yang diajar di dalam hidup kita ialah sentiasa mengingati mati.  Ketika sedang berada di dalam kenikmatan dunia, kematian seumpama jodoh yang akan kita temui di penghujung perjalanan kehidupan. Dengan mengingati akan tibanya saat menghadapi kematian, manusia akan kembali insaf dan tidak akan terus melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Sebaliknya apa yang difikirkan ialah tentang bekalan dan amalan yang akan dibawa apabila tibanya saat kematian. Apabila tidak mengingati mati, manusia akan lupa apakah bekalan yang akan dibawa dan persediaan untuk mengadap Allah SWT kelak.

Apa yang menggusarkan kini, manusia hidup di dalam kelekaan, malah jarang mengingati mati menyebabkan diri tidak bersedia kembali kepada Allah. Rasulullah SAW sering memberi peringatan kepada umat manusia agar sentiasa mengingati mati dan menurut baginda ada tiga amalan yang perlu kita lakukan melebihi 70 kali sehari. Pertamanya, Rasulullah berpesan agar kita berselawat kepadanya melebihi 70 kali sehari, tanda sayang dan kasih kita kepada baginda.  Kedua, kita diajar agar bertaubat melebihi 70 kali sehari dan ketiga ialah mengingati mati lebih 70 kali sehari.

Mengingati mati bukan hanya dengan sering menyebutnya, tetapi membayangkan ketika roh akan dicabut daripada jasad. Pada waktu kita sedang nyenyak tidur, malaikat datang mengejutkan kita dan melihat ia sedang berdiri dekat dengan kita. Kemudian malaikat menyebut kepada kita, “Wahai anak Adam, aku mencari setitis air untuk kamu minum, tetapi sudah tidak ada. Aku cari selangkah untuk kamu melangkah, sudah tidak ada. Aku mencari sepatah perkataan yang keluar daripada  mulut kamu, tetapi sudah tidak ada. Wahai roh, sila keluar daripada jasad ini.” Waktu itu kita berada di dalam keadaan wajah yang pucat, tergamam, dan bayangkan bagaimana roh meninggalkan jasad kita pada ketika itu, bagaimana perasaan ketika jasad dimandikan, dikapankan, dan ketika jasad diusung di dalam keranda. Malah kita juga perlu membayangkan keadaan jenazah yang diturunkan ke liang lahad sehinggalah saat disoal oleh malaikat Mungkar dan Nangkir.

Di dalam sebuah hadis menyebut pernah suatu ketika Rasulullah SAW duduk di kalangan para sahabat baginda, lalu sahabat-sahabat bertanya kepadanya siapakah yang paling cerdik di kalangan mereka. Baginda bersabda, mereka yang cerdik ialah orang yang sentiasa menyebut tentang kematian, orang yang mempersiapkan dirinya untuk menghadap Allah suatu ketika nanti, maka itulah secerdik-cerdik manusia.  Rasulullah bersabda, orang ini tatkala pergi menghadap di depan Allah, dalam keadaan yang penuh dengan kemuliaan dunia (Riwayat Abdullah bin Umar r.a).

Di dalam slot Mau’izati bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani di IKIMfm, setiap Khamis jam 5.15 petang, beliau  menekankan bahawa kita sewajarnya mengajak ahli keluarga dan orang lain untuk turut mengingati mati dan kesemuanya adalah bakal-bakal jenazah. Ada waktunya ketika bersama keluarga kita menyebut tentang kematian dan menghayati detik-detik mengharungi saat kematian. Para ulama berpendapat jika kita melihat anak-anak terlalu nakal, ajaklah mereka menziarahi perkuburan dan ingatkan mereka bahawa suatu hari nanti mereka bakal mengusung jenazah ibu bapanya sendiri. Semoga situasi ini mampu menyedarkan mereka dan mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi kematian.

Apa yang berlaku kini, ibu bapa sering membawa keluarga ke pusat-pusat membeli-belah atau berekreasi, namun jarang sekali membawa anak-anak menziarahi perkuburan. Malah jarang sekali mengingatkan mereka tentang suatu perkara yang perlu mereka lalui iaitu saat kita kembali menghadap Allah dan memerlukan doa daripada anak-anak yang soleh.

Pernah pada suatu ketika, seorang alim mengirimkan surat kepada sahabatnya. Katanya, “Wahai sahabatku, waspadalah kamu dengan kematian di dunia ini, kerana sebelum kamu pergi ke sebuah negeri, di mana kamu sangat inginkan kematian, saat itu kematian tidak akan datang kepadamu iaitu di alam barzakh nanti”.

Kaab bin Malik RA pernah menyebut, sesiapa yang mengenali kematian, dia akan memandang remeh terhadap semua cubaan dunia. Setiap kali kita merasa tertekan, apabila mengingati mati akan ringanlah bebanan yang dihadapi. Kerana sesungguhnya mati itu jauh lebih terbeban berbanding bebanan yang kita hadapi di dalam kehidupan ini. Dan dengan mengingati mati jugalah kita akan sentiasa bersedia menyiapkan amalan dan bekalan untuk menghadap Allah SAW.

Bagaimana mendidik hati agar sentiasa mengingati akan hadirnya kematian? Imam al-Ghazali menyebut kita perlu membiasakan diri mengosongkan hati daripada segala-galanya dan ingat bahawa kematian itu akan berada di hadapan kita. Antaranya ialah ketika beriktikaf di rumah Allah, sewaktu bangun tahajud pada waktu malam dan waktu kita hampir hendak tidur yang disebut oleh para ulama sebagai waktu manusia kembali kepada fitrah.  Selain itu Imam al-Ghazali menggalakkan kita sentiasa menyebut nama-nama mereka yang sudah meninggal dunia agar hati sentiasa mengingati mati.

Seorang ulama, Umar Abdul Aziz rahimallah sentiasa  memastikan dirinya berada dekat di kalangan para alim ulama dan meminta mereka menasihatinya. Mereka berkata padanya bahawa dia bukan khalifah pertama yang akan mati. Nabi Adam sendiri sudah menemui kematian dan kini akan tiba gilirannya untuk mati. Nasihat itu membuatkannya menangis teresak-esak kerana beliau bimbang tidak bersedia untuk menghadap di hadapan Allah SAW. Ini adalah di antara cara untuk mendidik diri agar sentiasa mengingati mati dan mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Ogos 2015
Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top