Kesatuan Guru Tidak Sokong Cadangan Rotan Anak Satu Kesalahan Jenayah

KUALA LUMPUR, 29 JAN – Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (KKGDPP) tidak bersetuju dengan cadangan menetapkan tindakan merotan anak sebagai kesalahan jenayah dalam undang-undang kanak-kanak yang baharu.

Presidennya Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata kongres itu berharap cadangan tersebut dikaji secara menyeluruh terutama dari aspek budaya dan agama masyarakat Malaysia sebelum dibentangkan di Parlimen.

Beliau menyatakan demikian kepada Buletin IKIMfm selepas diminta mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memasukkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada kanak- kanak termasuk perlakuan merotan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak bagi menggantikan Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam perkembangan yang sama, Buletin IKIMfm turut mendapatkan pandangan daripada Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur  Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad.

Beliau menegaskan bahawa amalan menghukum anak-anak dengan rotan bagi tujuan mendidik perlu mengikut adab-adab yang digariskan berdasarkan hadis dan ajaran agama..

“Dalam ajaran agama Islam terdapat cara mendidik anak dengan cara memukul bagi tujuan untuk mendidik, bukan untuk menyakiti kanak-kanak. Namun harus mengikut adat yang digariskan seperti memberi nasihat terlebih dahulu dan memukul anak adalah pilihan terakhir, namun harus diingatkan memukul itu bagi tujuan untuk mengingati anak terhadap kesalahan yang mereka lakukan”.

Kata Tan Sri Sheikh Ismail demikian selepas majlis perhimpunan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top