Kes demam denggi Kedah meningkat 10.1 peratus

ALOR SETAR, 27 Januari – Kedah mencatat peningkatan 10.1 peratus kes demam denggi atau 87 kes bagi tempoh 1 hingga 23 Januari tahun ini, berbanding 79 kes yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata bagaimanapun, setakat ini, tiada kes kematian dicatatkan.

Katanya, dua daerah menunjukkan peningkatan iaitu Baling sebanyak 380 peratus dengan 24 kes tahun ini berbanding lima kes pada 2015 dan Kuala Muda, 191.7 peratus atau 35 kes berbanding 12 kes tahun lalu.

Beliau berkata, tujuh daerah menunjukkan penurunan kes, iaitu Kulim sebanyak 60 peratus (lapan kes berbanding 20 kes tahun 2015), Langkawi 100 peratus (tiada kes berbanding satu kes tahun 2015), Kubang Pasu 66.7 peratus (empat kes berbanding 12 kes 2015), Kota Setar 25.0 peratus (12 kes berbanding 16 kes tahun 2015).

Padang Terap 66.7 peratus (satu kes berbanding tiga kes tahun 2015), Yan 83.3.0 peratus (satu kes berbanding enam kes tahun 2015) dan Sik 100 peratus (tiada kes berbanding dua kes tahun 2015).

Dr Norhizan berkata, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan Aedes di 18,301 premis.

Daripada langkah itu, katanya, 187 premis dikesan mempunyai pembiakan jentik-jentik.

“Kami mengeluarkan 164 kompaun berjumlah RM82,000 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 26 notis bagi arahan kerja pembersihan serta pemusnahan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya melakukan semburan untuk membunuh Aedes di 18,261 premis di seluruh Kedah dan 10,571 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

Sumber BERNAMA

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top