Kerjasama sekolah, PDRM penting banteras buli

KUALA LUMPUR, 11 April – Pihak sekolah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan kerjasama dalam penganjuran kempen anti buli bagi membanteras masalah itu yang semakin serius di kalangan pelajar.

Kerjasama di antara kedua-dua pihak itu berupaya membuahkan impak besar terutama membabitkan pelajar yang pernah terjebak sebagai pembuli atau menjadi mangsa buli.

Perunding Psikologi Kanak-kanak, Remaja dan Dewasa dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata program seperti sekolah angkat bersama PDRM juga bagus dipraktikkan agar pelajar lebih berhati-hati melakukan tindakan.

“Di luar negara, dengan usahasama sekolah dan polis, pelajar yang mempunyai masalah tingkah laku akan dibawa melawat ke penjara bagi melihat sendiri kehidupan banduan setelah dipenjarakan.

“Terdapat juga program khas pemuliharaan dan sesi taklimat secara bersemuka dengan banduan sendiri. Dengan cara ini, pelajar lebih sedar dan takut melakukan jenayah,” katanya ketika dihubungi BH.

Siti Fatimah turut berpendapat guru disiplin perlu lebih proaktif dan melakukan transformasi dengan bekerjasama bersama PDRM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mempelbagaikan kaedah membanteras kes salah laku pelajar.

Katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dengan mengawasi tingkah laku dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak agar dapat dicontohi.

“Kegagalan ibu bapa mendidik anak juga merupakan tunjang kepada berlakunya gejala negatif seperti membuli di dalam dan luar sekolah.

“Justeru, ibu bapa harus memberikan perhatian secukupnya kepada anak dan tidak terlalu mementingkan kerjaya sehingga mereka terdorong melakukan perkara tidak baik,” katanya.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top