Kerangka Asas Perlembagaan

PERBINCANGAN mengenai kerangka asas Perlembagaan Persekutuan belum lagi selesai walaupun banyak perbincangan dan perbahasan berlangsung dalam pelbagai mood dan platform. Ada pihak menyatakan bahawa kerangka asas Perlembagaan kita adalah Islamik, dan ada yang menyatakannya sekular.

Kesan daripada ketiadaan persetujuan tentang kerangka asas Perlembagaan Persekutuan ini telah mendatangkan beberapa polimik. Polimik ini seterusnya telah menyebabkan beberapa perkara  asas Perlembagaan dipersoal dan mahkamah pula ‘dipaksa’ membuat keputusan bagi menentukan asas kepada Perlembagaan. Janggalnya, apabila mahkamah membuat keputusan, polimik juga tidak berkesudahan.

Pada analisa saya, kerangka-kerangka asas atau sifat-sifat asas Perlembagaan Persekutuan ialah: (1) Perlembagaan bersifat persekutuan yang mengamalkan sistem persekutuan dengan meletakkan tumpuan kuasa kepada Persekutuan; (2) mempunyai nilai-nilai tempatan yang terangkum dalam tiga terma, warisan, tradisi dan watan, seperti kepentingan Melayu, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu  (3) bersifat sebagai undang-undang tertinggi; (4) membina sistem demokrasi berparlimen; (5) membina sistem raja berperlembagaan dengan beberapa kuasa budi-bicara; (6) meletakkan agama Islam sebagai agama negara; (7) meraikan kepelbagaian komuniti dan budaya.

Saya cungkil kerangka-kerangka asas ini daripada terma rujukan lantikan Suruhanjaya Reid. Ini kerana terma-terma inilah yang wajib dipatuhi oleh Suruhanjaya Reid dalam membentuk atau mencadangkan kerangka Perlembagaan Persekutuan. Suruhanjaya Reid cuma merupakan mekanisme yang digunakan untuk merangka, sedangkan pengisian, atau kandungan asas Perlembagaan ditentukan oleh Raja-Raja Melayu.

Saya petik terma rujukan tersebut untuk rujukan pembaca,

“To examine the present constitutional arrangements throughout the Federation of Malaya, taking into account the position and dignities of Her Majesty the Queen and of Their Highnesses the Rulers: and  To make recommendation for a federal form of constitution the whole country as a single, self-governing unit within the Commonwealth based on Parliamentary Democracy with a bicameral legislature, which would include provision for (i) The establishment of a strong central government with the States and Settlements enjoying a measure of autonomy (the question of residual legislative power to be examined by, and to be the subject of recommendations by the Commission) and with machinery for consultation between the central Government and the States and Settlements on certain financial matters to be specified in the Constitution; (ii) The safeguarding of the position and prestige of Their Highnesses as constitutional Rulers of their respective States; (iii) A Constitutional Yang di-Pertuan Besar (Head of State) for the Federation to be chosen from among Their Highnesses the Rulers (iv) A common nationality for the whole of the Federation (v) The safeguarding of the special position of the Malays and legitimate interests of other communities”.

Sekiranya kita perhati dalam terma-terma rujukan itu, tiada perkataan Islam secara harfiah, tiada juga perkataan sekular secara harfiah. Tetapi terdapat kedudukan dan ciri-ciri Islam secara tersirat dan tiada ciri-ciri sekular walaupun secara tersirat.

Namun, masih ada mereka yang merujuk kepada keputusan kes Che Omar Che Soh [1988] 2 MLJ 55 untuk menghujah bahawa kerangka Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular. Keputusan kes tersebut tidak menunjukkan sifat sekular Perlembagaan dan tidak juga menunjukkan sifat sekular negara. Apa yang dinyatakan keputusan tersebut ialah undang-undang Islam terhad kepada undang-undang keluarga dan undang-undang peribadi, Islam terhad hanya kepada upacara rasmi sahaja dan Perlembagaan adalah Undang-Undang tertinggi.

Kes Che Omar Che Soh memutuskan tentang perkara 3(1) sahaja. Ia tidak menganalisa semua peruntukan dalam Perlembagaan. Maka tidak memadai untuk menggunakan keputusan kes ini untuk menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan berkerangka sekular.

Banyak lagi peruntukan yang membentuk Perlembagaan Persekutuan dalam Perlembagaan yang perlu dianalisa sebelum membuat keputusan tentang kerangka asas Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 bukan satu-satunya. Sebagai contoh, tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong, kuasa Majlis Raja-Raja, kedudukan Islam dan agama lain dalam keadaan darurat dan beberapa peruntukan lain lagi. Terdapat lebih kurang 100 peruntukan lain yang perlu dikaji sebelum membuat keputusan tentang sifat Perlembagaan Persekutuan.

Rencana yang disiarkan ini merupakan pandangan peribadi penulis sendiri
Kongsi Artikel ini :

Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz

View posts by Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz

Leave a Reply

Scroll to top