Kerajaan fokus tugas utama bangunkan negara, bela rakyat: PM

JEDDAH, 2 Mac Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau bukan pemimpin yang hanya memikirkan kedudukan seperti didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, berkata apa yang beliau peroleh sekarang adalah mandat daripada ahli parti yang memilihnya melalui proses paling terbuka dalam sejarah UMNO yang berasaskan prinsip demokrasi.

“Jadi saya beriltizam untuk meneruskan mandat yang diterima daripada ahli UMNO,” katanya ketika bercakap kepada media Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Jeddah, di sini, malam tadi.

Beliau diminta mengulas alasan Dr Mahathir keluar UMNO, kononnya parti itu sebagai sebuah parti politik tidak wujud lagi, sebaliknya untuk kepentingan seorang individu.

Sambil menyifatkan keputusan Dr Mahathir itu bukan sesuatu yang mengejutkan, Najib berkata, UMNO akan meneruskan agenda parti.

“Kita perlu lebih fokus kepada perkara yang mahu diperjuangkan supaya UMNO lebih kukuh kerana parti perlu berdepan segala cabaran, terutama sekali persediaan untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Ditanya adakah tindakan Dr Mahathir akan memberi kesan kepada UMNO, Najib berkata, ia mungkin tidak menggugat parti.

“Biasanya kalau keluar parti, kesan ketika kali pertama (keluar parti), tetapi ini (Dr Mahathir keluar UMNO) sudah kali kedua. Orang kata tidak sangat beri impak yang boleh gugat UMNO,” katanya.

Mengenai tindakan bekas Perdana Menteri itu berterusan mengeluarkan kenyataan yang kemudian dipetik oleh media asing sehingga menjejaskan negara, Najib berkata, apa yang penting ialah beliau akan terus mempertahankan UMNO dan kerajaan.

Katanya, apa yang dilakukan Dr Mahathir itu tidak akan mengalih pandangan kerajaan daripada tugas utama untuk terus membangunkan negara.

“Kerajaan akan pastikan dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar dan tidak menentu ini, kesejahteraan rakyat tidak terabai,” katanya.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top