Kepentingan Sifat Dua Puluh

DALAM slot Tarbiyyah yang bersiaran di radio IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali terus menyambung perbincangan berhubung dengan konsep manhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah. Untuk siri kali ini beliau mengupas berhubung dengan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian iaitu Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa al-Sifat yang banyak terdapat dalam pengajian hari ini termasuk dalam silibus kurikulum samada di peringkat sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi.

Jika diteliti dari segi sejarah perbahasan konsep ketuhanan sebegini belum pernah dikemukakan oleh mana-mana ulama generasi Salaf sebelum Ibn Taymiyyah (w.1328) pada kurun ketujuh Hijrah. Setelah hampir empat kurun kematian Ibn Taymiyyah, muncul Muhammad ‘Abd al-Wahab (w.1792) untuk menghidupkan kembali pemikiran Ibn Taymiyyah termasuklah berkaitan Tauhid Tiga dalam bentuk yang lebih keras sehingga terbina sebuah aliran yang digelar Wahabiyyah pada kurun ke-12 Hijrah. Di Malaysia, aliran atau gerakan ini lebih sinonim dengan nama Wahabi atau juga dikenali sebagai Kaum Muda serta Ittiba’ Sunnah.

Dalam hal ini, tauhid Rububiyyah ialah mengiktiraf bahawa Tuhan yang menciptakan, memiliki dan mengatur alam semesta ini adalah Allah SWT sahaja. Tauhid sebegini diakui oleh semua orang sama ada mereka terdiri dari kalangan orang beriman atau orang kafir yang tidak beriman. Manakala tauhid Uluhiyyah atau tauhid Ibadah bermaksud pelaksanaan ibadat atau penyembahan yang hanya ditujukan kepada Allah SWT semata-mata dan tauhid ini hanya diyakini oleh orang beriman sahaja. Asma’ wa al-Sifat pula diertikan sebagai menetapkan hakikat nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT sepertimana terkandung di dalam al-Quran dan hadis dengan pengertian zahir yang diketahui oleh manusia.

Walau bagaimapun, konsep Tauhid Tiga ini telah mengundang kritikan dan penolakan daripada para ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah berasaskan banyak hujah-hujah antaranya ialah sandaran yang dibuat terhadap Imam Ahmad bin Hanbal yang kononnya didakwa menjadi tempat sandaran bagi golongan tertentu melakukan pembahagian tauhid kepada tiga, pada hakikatnya beliau tidak pernah menyatakan tauhid terbahagi kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa al-Sifat. Imam Ahmad juga tidak pernah menyebut huraian tauhid sepertimana yang diperkatakan oleh Ibn Taymiyyah dan Muhammad ‘Abd al-Wahab.

Ia juga tidak pernah ditemui di dalam Sunnah Rasulullah SAW sama ada melalui kitab-kitab sahih atau tidak tentang Tauhid Tiga. Sekalipun Tauhid Tiga dikatakan ijtihadi oleh sebilangan pendukungnya, namun ianya tetap memerlukan sokongan dalil apatah lagi jika berkaitan dengan persoalan akidah. Malah telah tercatat dalam hadis bahawa dakwah Rasulullah SAW adalah untuk mengajak kepada ‘Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah’ bukan sebagaimana huraian Tauhid Tiga.

Implikasi menerima pakai pembahagian tauhid sebegini ialah membawa kepada menghukum perbuatan khilafiyyah kononnya sama seperti perbuatan orang kafir yang menyembah berhala, malah ia lebih teruk daripada Abu Jahal dan Abu Lahab. Bahkan mereka menyatakan lagi bahawa Abu Jahal dan Abu Lahab itu adalah lebih beriman kepada Allah SWT kerana mereka masih memiliki tauhid iaitu Rububiyyah berbanding umat Islam yang melakukan perbuatan itu.

Persoalannya, adakah umat Islam yang mengucapkan dua kalimah syahadah tidak dianggap bertauhid? Implikasi besar konsep Tauhid Tiga yang dibawa oleh kelompok ini ialah membawa kepada pemikiran ekstrem dalam beragama dengan bermudah-mudahan menghukum orang Islam lain yang tidak sependapat dengan mereka sebagai bidaah, sesat, syirik, kafir (bahkan lebih teruk dari orang kafir) dan sebagainya lagi.

Mereka turut menolak konsep tawassul yang dibenarkan oleh sekalian ulama muktabar silam. Kemuncaknya, mereka yang berfahaman sebegini akan menuduh orang lain yang tidak sealiran sebagai kafir dan dihalalkan darah untuk dibunuh sebagaimana yang dilakukan oleh golongan ekstremis agama (IS) sekarang ini yang lebih dikenali sebagai berfahaman “Salafi-Jihadi” sepertimana yang diakui oleh pihak berkuasa keselamatan negara.

Walaupun begitu, mendukacitakan kelihatan pengajian Tauhid Tiga telah berada dalam silibus pengajian Islam di peringkat sekolah dan beberapa institut pengajian tinggi di Malaysia. Perkara ini perlu diberikan perhatian oleh pihak bertanggungjawab agar pengajian Tauhid Tiga dapat dimansuhkan daripada kurikulum pengajian akidah Islam dan dikembalikan Pengajian Sifat Dua Puluh berdasarkan pendekatan Ahli Sunnah Wal Jama’ah aliran Asha’irah dan Maturidiyyah. Pengajian Sifat Dua Puluh ini terbukti berkesan menjadi pendekatan yang dominan dalam memperkukuhkan akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah kepada setiap umat Islam sehingga hari ini dan menyelamatkan mereka daripada bersikap melampau.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Februari 2016
Kongsi Artikel ini :

1 Comment

  1. ADZHARFebruary 9, 2016

    a”kum,
    allahamdullilah…jelas dan memaahami tauhid tiga ini idak wujud dan terpesong dari ajaran islam.
    terima kasih
    kepada IKIM FM

Leave a Reply

Scroll to top