Kenyataan Media : Drama Khas Ramadhan IKIMfm 2016

KENYATAAN MEDIA

DRAMA KHAS RAMADAN ‘SETEGUH KASIH RAMADAN’ TERBITAN IKIMFM DENGAN KERJASAMA ISLAMIC RELIEF MALAYSIA (IRM) BAKAL BERSIARAN SEPANJANG BULAN RAMADAN 2016/ 1437

Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) bersama penaja Islamic Relief Malaysia (IRM) pada tahun ini 2016 sekali lagi bakal menerbitkan Drama Khas Ramadan bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan yang mulia pada tahun 1437/2016 ini.

Tahun ini merupakan tahun keempat IKIMfm menerbitkan Drama Khas Ramadan yang telah mendapat sambutan yang luar biasa di kalangan pendengar radio IKIMfm sepanjang penerbitannya setiap tahun.

Rancangan Drama Khas Ramadan akan disiarkan sebanyak 20 episod bermula 6 Jun 2016 hingga 1 Julai 2016, setiap Isnin hingga Jumaat jam 4.15 petang diterbitkan oleh Puan Nik Hasnah Ismail.

Dengan tajuk ‘Seteguh Kasih Ramadan’, drama bersiri ini mengangkat tema kekeluargaan dan hubungan sejagat sesama manusia. Drama ini akan dijayakan oleh barisan pelakon profesional iaitu pelakon popular Fizz Fairuz yang memegang watak utama sebagai Azman, pelakon wanita Yatt Hamzah yang memegang watak sebagai Darina, dan pelakon Irma Hasmi sebagai Sakinah.

Drama ini juga akan menampilkan barisan penyampai IKIMfm yang akan memegang watak pelakon pembantu. Manakala skrip drama Seteguh Kasih Ramadan ini ditulis oleh Puan Maizura Mohd Ederis iaitu seorang penulis skrip drama TV yang terkenal di tanah air.

Drama ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Azman (Fizz Fairuz) yang diumpamakan seorang yang “sudah jatuh ditimpa tangga” apabila melalui kegagalan dalam kerjaya dan seterusnya gagal dalam perkahwinan. Ini kerana isterinya Darina (Yatt Hamzah) tidak dapat menerima kehidupan mereka yang sering diuji dengan masalah kewangan. Lalu Azman, seorang yang aktif dengan kerja-kerja kemanusiaan dan merupakan sukarelawan Islamic Relief Malaysia (IRM) pulang ke kampung halamannya di Kuala Selangor untuk membina hidup baru kerana dia cukup yakin hijrah itu akan membawa kejayaan kepada dia dan dua anaknya. Dalam ‘kekalahan’ yang dihadapi itu hanya kepada Allah SWT tempat mengadu dan tempat dia menggantung harap. Kehadiran Sakinah seperti memberi sinar baru untuk dia meneruskan hidup membesarkan anak-anak yang dahagakan kasih sayang seorang ibu.

Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my

One thought on “Kenyataan Media : Drama Khas Ramadhan IKIMfm 2016

  • August 27, 2016 at 3:28 am
    Permalink

    Salam. Bagaimana utk saya menyumbang skrip drama radio?dimana saya boleh dapatkan infonya?
    Terima kasih

Comments are closed.