Kenyataan Akhbar – Situasi Terkini Zika di Malaysia

PUTRAJAYA, 14 Sept – Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia daripada 1 September hingga 13 September 2016, terdapat sebanyak enam (6) kes Zika telah dilaporkan di seluruh negara. Kesemua kes yang dijangkiti Zika ini telah dimasukkan ke hospital untuk pemantauan rapi. Pemantauan KKM juga mendapati sebanyak 79 kes yang mempunyai tanda-tanda Zika telah dilaporkan, namun kesemua mempunyai keputusan ujian yang negatif. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Pakar Virologi di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas virus Zika bagi dua kes pertama yang positif, hasil kajian menunjukkan ianya dari Asian lineage, di mana jujukan genom kes pertama di Johor menyerupai French Polynesia manakala jujukan genom kes kedua di Sabah adalah menyerupai jujukan genom setempat (Micronesia).

Kementerian Kesihatan Malaysia telah melakukan aktiviti pencegahan dan kawalan vektor di kawasan kediaman kesemua kes termasuk kesemua tempattempat yang telah dilawati oleh mereka. Ini termasuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes, larvasiding, semburan pengasapan dan pendidikan kesihatan kepada jiran-jiran di kawasan perumahan tersebut.  Daripada 1 September hingga 13 September 2016, jumlah premis yang telah dilakukan pemeriksaan dan aktiviti kawalan vektor adalah seperti berikut:

[table]

[tr][th]Aktiviti Pemeriksaan dan Kawalan Vektor  [/th] [th] Jumlah Premis[/th][/tr]

[tr][td]Premis yang telah dilakukan pemeriksaan[/td] [td]3,543[/td][/tr]

[tr][td]Premis didapati positif pembiakan Aedes[/td] [td]43[/td][/tr]

[tr][td]Premis yang dilakukan aktiviti larviciding[/td] [td]1,956[/td][/tr]

[tr][td]Premis yang telah dilakukan semburan thermal[/td] [td]1,646[/td][/tr]

[tr][td]Premis yang telah dilakukan semburan Ultra Low Volume[/td] [td]6,569[/td][/tr]

[/table]

Aktiviti pengesanan kes (Active Case Detection) turut dilakukan ke atas semua 25 kontek dan sekiranya kontek menunjukkan gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika, mereka dirujuk ke hospital untuk siasatan dan rawatan lanjut. KKM juga sedang memantau jangkitan virus Zika melalui survelan makmal secara berterusan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di mana dari bulan Jun 2015 sehingga 13 September 2016, mendapati sebanyak 828 sampel darah dan air kencing daripada pesakit yang menunjukkan gejala virus Zika telah diuji dan setakat ini semua keputusan ujian adalah negatif.

Pemantauan di pintu masuk antarabangsa udara, darat dan laut masih diteruskan. Sehingga 11 September 2016 sebanyak 3.17 juta pelawat telah disaring dari 55 negara.KKM juga telah memuatnaik “Updated Zika Alert” Dan Arahan Pentadbiran Untuk Pemantauan Dan Pengurusan Jangkitan Virus Zika ke dalam portal KKM di http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/store_view_page/10/292. Maklumat mengenai Zika juga boleh didapati daripada info sihat KKM iaitu http://www.infosihat.gov.my/infosihat.

Usaha menangani masalah jangkitan Zika dan Denggi yang berlaku di negara ini adalah tanggungjawab bersama semua pihak sama ada kerajaan, swasta atau NGO dan lebih mustahak lagi, ianya tanggungjawab semua lapisan masyarakat Malaysia sendiri.KKM ingin menasihatkan masyarakat agar membersihkan kawasan persekitaran setiap minggu samada di luar atau di dalam rumah dan tempat kerja, serta memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.

Di samping itu, orang ramai termasuk wanita hamil, perlu melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes dengan menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan. Penggunaan aerosol juga digalakkan di dalam rumah yang boleh dilakukan pada waktu nyamuk aktif menggigit iaitu di antara 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang. Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi.

YB DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Kongsi Artikel ini :

Leave a Reply

Scroll to top