Kementerian Pendidikan Arah Semua Pengarah Kesan Buli di Laman Sosial

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan mengarahkan semua pengarah peringkat kementerian dan negeri, pegawai pendidikan daerah serta pengetua dan guru besar menggunakan segala sumber bagi mengesan kejadian buli yang tersebar di laman sosial, sejak beberapa hari lalu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata pihaknya juga kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan lokasi kes buli berkenaan dikesan segera, seterusnya membolehkan pelakunya dikenakan tindakan tegas.

Katanya, sehingga kini pihaknya sudah mengenalpasti klip video insiden buli di Asrama Anak Yatim Kompleks Penyayang di Jejawi, Perlis yang berlaku pada 24 Mei lalu, manakala satu lagi klip yang dipaparkan sebelum ini belum lagi dikesan lokasi serta pelakunya.

“Saya meminta semua pihak termasuk ibu bapa yang mengetahuinya dapat tampil memberi kerjasama melaporkan kepada mana-mana institusi pendidikan di bawah kementerian agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Kementerian juga ingin menjelaskan dengan tegas bahawa buli adalah isu serius dan akan ditangani tanpa kompromi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelakunya termasuk menyingkirkan mereka daripada sekolah atau asrama.

“Kementerian amat konsisten dalam isu ini termasuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak, khususnya pengurusan sekolah dan asrama jika didapati isu ini tidak ditangani secara berkesan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Khair mengesahkan, tujuh pelajar di Asrama Anak yatim Kompleks Penyayang sudah dikenakan tindakan tegas, termasuk dua disingkirkan daripada asrama dan sekolah.

Beliau berkata, sepanjang tiga tahun lalu, kes buli di sekolah di seluruh negara menunjukkan trend menurun iaitu 2,282 kes pada tahun 2012, sebanyak 1,445 kes pada tahun lalu 1,314 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Selasa lalu, satu klip video berdurasi empat minit 37 saat tersebar yang memaparkan sembilan pelajar lelaki menjadi mangsa buli sekumpulan remaja lain termasuk aksi tumbuk bertubi-tubi dan sepak terajang ala `tomoi’.

Semalam, satu lagi klip video membabitkan sekumpulan pelajar membelasah seorang rakan mereka tersebar yang mencetuskan kemarahan orang ramai sebelum ia disahkan berlaku di Jejawi, Perlis pada Mei lalu.

Sumber BERITA HARIAN.

Kongsi Artikel ini :

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

View posts by Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Leave a Reply

Scroll to top